story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Bincang belanjawan dengan pembangkang sebelum bawa ke Parlimen - PH

Majlis Presiden PH menggesa kerajaan agar segera mengadakan rundingan dengan ahli parlimen pembangkang berhubung Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat November depan.

Gesaan itu dinyatakan dalam kenyataan media yang ditandatangani Presiden PKR merangkap Pengerusi PH Anwar Ibrahim; Presiden Amanah Mohamad Sabu; dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Menurut PH, gesaan itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Maka perdana menteri harus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dengan mengadakan perbincangan dan rundingan segera dengan pihak pembangkang berkenaan isi kandungan Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini, supaya ia dapat mencapai objektif-objektif yang diingini Tuanku," kata Majlis Presiden PH selepas mesyuarat di ibu pejabat PKR, hari ini.

Pada 28 Oktober lalu, Sultan Abdullah dalam titahnya menyeru semua ahli parlimen menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Dewan Rakyat.

Dalam kenyataan media Istana Negara yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin, baginda menyeru agar mereka mengenepikan perbalahan politik dan mengutamakan kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara agar Belanjawan 2021 diluluskan tanpa gangguan.

Kenyataan itu hadir empat hari selepas Agong menolak memberi perkenan permohonan Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat yang didakwa sesetengah pihak agar sidang Dewan Rakyat tidak perlu dilakukan.

Majlis Presiden PH berkata lagi, perbincangan perlu diadakan memandangkan kepentingannya terutama di saat rakyat masih berdepan kesan penularan Covid-19.

Katanya, belanjawan perlu menumpukan keperluan petugas barisan hadapan serta menetapkan hala tuju yang mampu memastikan negara terus maju semasa dan selepas wabak - antaranya dengan mengenal pasti strategi pembangunan baru untuk ekonomi.

"Berjuta rakyat yang berada pada atau di bawah paras kemiskinan amat mengharapkan bantuan melalui belanjawan ini. Golongan yang tidak harus ketinggalan juga adalah yang mengharapkan moratorium pinjaman dilanjutkan," katanya.

Majlis Presiden PH juga berkata, pihaknya mengambil maklum seruan Sultan Abdullah agar semua ahli Parlimen memberi sokongan kepada Belanjawan 2021.

"Majlis Presiden yakin bahawa semua ahli Parlimen akan terlibat di dalam sesi perbahasan yang sihat untuk memastikan Belanjawan 2021 mengutamakan kepentingan negara dan rakyat, serta menepati aspirasi seperti yang telah dititah Tuanku," katanya lagi.

Tiada komen tambahan

Dalam pada itu, sejumlah pemimpin PH yang ditemui selepas mesyuarat selesai tidak memberi ulasan lanjut ketika ditanya pemberita.

Mohamad Sabu juga enggan mengulas ketika ditanya berkenaan perjumpaannya dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir, dipercayai berhubung cadangan membentuk kerajaan perpaduan.

“Tiada komen, tiada komen,” katanya.

Hari ini, laman Facebook kelab penyokong Mahathir, Kelab Che Det menyiarkan tiga gambar yang dikaitkan dengan pertemuan berkenaan.

Sumber dari pejabat Mahathir mengesahkan bahawa Mahathir telah bertemu dengan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad dan Mohamad Sabu secara berasingan sepanjang minggu ini.

"Perbincangannya adalah untuk membentuk kerajaan perpaduan," kata sumber itu kepada Malaysiakini hari ini.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini