Malaysiakini
BERITA

Muzzammil CEO baru Yayasan Peneraju Bumiputera

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Okt 2020, 1:56 pagi

Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), mengumumkan pelantikan Mohd Muzzammil Ismail sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharunya.

Yayasan itu dalam satu kenyataan menyatakan pelantikan Mohd Muzzammil, 31, akan meneruskan kesinambungan usaha agensi itu, meningkatkan bakat golongan bumiputera dalam bidang ekonomi berpendapatan tinggi melalui pendidikan akademik, pensijilan profesional dan vokasional.

Mengulas mengenai pelantikan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof berkata dia yakin Muzzammil akan dapat menjalankan tugas dengan baik bersama tenaga kerja yayasan tersebut.

“Pengalaman bekerja dengan pelbagai agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi pada masa lalu, akan dimanfaat untuk dia memimpin Yayasan Peneraju mencapai matlamat melahirkan lebih ramai guna tenaga seperti di negara maju, daripada berintensifkan buruh kepada ekonomi bernilai tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Muzammil sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Felo Akademik di Universiti Utara Malaysia, pegawai penyelidik di Universiti Sains Malaysia dan Universiti Malaya, termasuk berkhidmat di beberapa firma juruukur dan perancang bandar seperti Think-City Geografia dan BLT Architect.

Dia turut terlibat dalam penerbitan lima buah buku akademik, empat jurnal artikel dan lain-lain artikel di majalah selain pernah menjadi penulis ruangan kolum di akhbar Sinar Harian, Kosmo, Utusan, The Star dan Berita Harian berkenaan pendidikan, perancangan bandar, pengurusan bencana dan politik.

Mohd Muzzammil memiliki Ijazah Sarjana Muda Perancang Bandar dan Wilayah Universiti Sains Malaysia, Sarjana Perancang Hartanah Heriot-Watt University, United Kingdom dan kini sedang mengikuti pengajian dalam bidang Doktor Falsafah (PhD) Geografi di Durham University, United Kingdom.

Berada di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri, Yayasan Peneraju telah merealisasikan aspirasi lebih dari 33,000 penerima faedah seluruh Malaysia melalui 261 program pembiayaannya dengan agihan peruntukan sebanyak RM716 juta dalam tempoh lapan tahun.

-Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan