mk-logo
Berita
Umno kekal dalam k'jaan tapi mahu PRU lepas Covid-19 terkawal
Diterbitkan:  Oct 29, 2020 5:10 PM
Dikemaskini: 5:49 PM

Mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) Umno malam ini memutuskan menteri daripada parti itu akan kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, Umno turut memutuskan bahawa pilihan raya umum (PRU) perlu diadakan selepas wabak Covid-19 berada di "peringkat minimum".

"Umno adalah sebuah parti yang dasar-dasarnya sentiasa memberikan keutamaan kepada agenda rakyat. Maka semua anggota Kabinet yang mewakili Umno terus kekal dalam Kerajaan dan beriltizam untuk terus menjaga kebajikan rakyat dan mempertahankan maruah parti.

"Umno memutuskan agar mandat rakyat dikembalikan bagi mewujudkan kerajaan yang stabil dengan mengadakan PRU setelah pandemik Covid-19 dapat dikawal dan berada di peringkat minimum," kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat.

Mesyuarat di PWTC itu dipercayai bermula kira-kira pukul 9.30 malam dan berakhir 12.30 tengah malam.

Pemimpin parti itu - antaranya Tajuddin Abdul Rahman, Shahidan Kassim, Puad Zarkashi, Shabery Cheek dan Zahidi Zainul Abidin - yang ditemui pemberita selepas mesyuarat enggan menjawab sebarang soalan.

Zahid dan timbalannya Mohamad Hasan pula tidak kelihatan selepas mesyuarat berakhir, dipercayai keluar menggunakan laluan lain.

Terdahulu, sumber menyatakan antara agenda mesyuarat malam ini antaranya berhubung calon timbalan perdana menteri.

Sumber itu mendakwa antara tiga nama yang menjadi sebutan adalah Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Hishammuddin Hussein.

Bagaimanapun Zahid dalam kenyataannya tidak menyentuh tentang perkara itu.

Dalam pada itu, Zahid berkata Umno turut membincangkan isu berkenaan Belanjawan 2021 untuk dibawa kepada kerajaan, seperti lanjutan moratorium, bantuan sara hidup kepada rakyat yang hilang punca pendapatan dan bayaran khas kepada petugas barisan hadapan.

"Umno akan memastikan Belanjawan 2021 yang bermanfaat untuk rakyat dapat diluluskan," katanya.

Katanya lagi, Umno menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan untuk memastikan pentadbiran negara berjalan dengan baik berpandukan Perlembagaan Persekutuan, berbanding pengisytiharan darurat yang dicadangkan kerajaan.

"Sebarang tindakan mana-mana pihak yang mempersoalkan keputusan Umno dalam menudukung titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu adalah tidak bertanggungjawab dan amat dikesali.

"Jika pendirian Umno dalam perkara ini masih dipersoalkan, Umno tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas demi untuk menjaga kedaulatan raja-raja dan kepentingan rakyat," katanya lagi.

Lihat Komen
Paling Popular
Terkini