Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kempen tekan wakil rakyat S'gor bantah penyahwartaan hutan simpan

Gabungan yang dikenali sebagai "Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara" menghantar petisyen kepada semua Adun dan ahli parlimen di Selangor semalam dalam usaha mendapatkan tandatangan mereka bagi menentang penyahwartaan hutan simpan berkenaan.

"Kad skor" mengandungi senarai semua 71 Adun dan Ahli Parlimen berkenaan turut dikongsikan di laman web aktivis alam sekitar, Greenpeace.

Orang ramai boleh melihat wakil rakyat mana yang menyokong kempen itu, mereka yang menentang, atau yang belum menjawab surat tersebut.

Surat itu juga diterbitkan di laman web berkenaan.

Walaupun kempen itu baru dilancarkan semalam, Adun Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi menjadi wakil rakyat pertama dalam senarai yang menyokong inisiatif tersebut.

Anggota Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, yang kawasannya berada di luar Selangor, secara sukarela menunjukkan sokongan terhadap kempen menyelamatkan hutan simpan tersebut. 

Nama Yeoh disebut di bahagian bawah senarai di laman web berkenaan.

Yeoh sebelum ini merupakan Adun Subang Jaya dari tahun 2008 hingga 2018.

Kempen ini dikendalikan oleh Persatuan Kesedaran dan Keadilan Iklim Malaysia (Klima), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), Five Arts Center, Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat, Empower Malaysia, Parti Sosialis Malaysia, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) dan Greenpeace Malaysia.

Rakyat mesti tekan ahli politik

Penyelaras Suaram, Suresh Kumar Balasubramaniam berkata kempen tersebut akan berlangsung dari 29 Okt hingga 12 Nov.

Beliau berkata ini bertepatan dengan sidang Dewan Undangan Negeri Selangor yang berlangsung dari hari ini (30 Okt) hingga 11 Nov.

Kempen itu pada awalnya merancang untuk meminta wakil rakyat menandatangani surat tersebut secara langsung semasa sidang dewan tetapi tidak dapat dilakukan kerana perintah kawalan pergerakan bersyarat. 

Sebaliknya, gabungan itu menghantar surat tersebut ke e-mel mereka.

"Sebilangan besar ahli politik ini, mereka biasanya cuba memasuki 'grey area', di mana mereka cuba untuk berdiam.

"Mereka fikir ketika mereka buat begitu, mereka selamat. Tetapi ini bukan masanya. Inilah masanya mereka harus mengambil sikap.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada wakil rakyat Kota Anggerik kerana menjadi orang pertama (dalam senarai) yang menandatangani surat itu," kata Suresh semasa sidang media yang disiarkan di Facebook.

Pengerusi Klima, Ili Nadiah Dzulfakar (gambar atas) meminta orang ramai untuk turut serta dalam memberi tekanan kepada ahli politik supaya menyatakan pendirian mereka.

"Dalam semangat 'rakyat jaga rakyat', Klima dan ahli gabungan ini meminta semua rakyat memberi tekanan (kepada ahli politik) untuk mengambil sikap serius bagi melindungi dan mempertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

"Bukan hanya untuk alasan ekologi, tetapi juga untuk hak masyarakat Temuan.

"Tolong beri tekanan kepada MP dan Adun untuk buat pilihan yang tepat untuk rakyat. Mereka adalah wakil kita, jika tidak, kita boleh tukar mereka di masa akan datang," kata Nadiah.

Begitu juga, ahli exco Peka dan ketua Peka Selangor, Damien Thanam Divean (gambar bawah) berkata orang ramai mesti memastikan wakil rakyat ini bertanggungjawab terhadap tindakan mereka.

"Kita harus bersungguh-sungguh mendesak wakil rakyat ini untuk bantah. Mereka dapat gaji dari wang pembayar cukai, mereka mesti menyatakan pendirian mereka," katanya.

Kebimbangan masyarakat Orang Asli 

Sementara itu, aktivis Orang Asli Shaq Koyok berkata, masyarakat Orang Asli di daerah Kuala Langat bimbang kerajaan mungkin memindahkan mereka keluar dari kawasan itu.

"Kami hanya mendapat tahu tentang notis (penyahwartaan hutan simpan) ini di surat kabar. Mereka (kerajaan negeri Selangor) tidak mengikut prosedur yang betul.

"Mereka tidak berunding dengan masyarakat bagi projek itu. Mereka hanya meletakkan notis di surat khabar untuk pastikan tidak ada yang tahu," kata Shaq.

Shaq yang terkejut dengan tindakan kerajaan negeri berkata, masyarakat Orang Asli di sana bimbang pihak berkuasa mungkin mengusir mereka keluar dari kampung halaman mereka. 

Katanya, "tok batin" juga menyatakan kebimbangan.

Rancangan untuk menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat (Utara) sebelum ini menerima 45,423 bantahan, termasuk 29,443 melalui petisyen dalam talian, 11,953 melalui e-mel dan 3,895 bantahan bertulis.

Exco alam sekitar, teknologi hijau, sains, teknologi dan inovasi dan hal ehwal pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata dalam sesi townhall baru-baru ini bahawa Menteri Besar Diperbadankan (MBI) merupakan pemaju bagi cadangan projek pembangunan campuran di hutan simpan berkenaan.

Menurut Hee, projek itu hanya di tahap 'cadangan' sehingga hutan simpan berkenaan ditukar menjadi tanah komersial atau perumahan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari sebelum ini menjelaskan bahawa kerajaan negeri ingin membangunkan 930.93 hektar atau 97.1 peratus hutan simpan tersebut kerana merupakan hutan gambut yang telah merosot dan menimbulkan bahaya kebakaran di kawasan sekitarnya.

Amirudin memberi jaminan bahawa masyarakat Orang Asli tidak akan terjejas dan kehilangan hutan berkenaan akan digantikan dengan pewartaan kawasan baru sebagai hutan simpan.

Selain projek pembangunan campuran, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga dijangka akan menjejaskan sebahagian daripada hutan simpan berkenaan.

Kumpulan aktivis alam sekitar sebelum ini menegaskan tentang pentingnya hutan simpan tersebut dipelihara sebagai habitat semulajadi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS