Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pasukan kesihatan mental ditubuhkan sejak awal wabak Covid-19 di Sabah

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah menubuhkan pasukan Kesihatan Mental dan sokongan Psikososial di setiap daerah di Sabah sejak awal pandemik COVID-19 melanda negeri ini.

Pengarah JKNS Datuk Dr Christina Rundi berkata pasukan itu bertujuan untuk memberi sokongan mental dan emosi kepada individu yang terkesan dengan COVID-19 termasuk petugas kesihatan di lapangan dan hospital.

Beliau berkata semua pegawai perubatan dan pakar perubatan di Jabatan Anestesiologi Hospital Queen Elizabeth (HQE) bekerja dalam suasana yang kondusif dan masih berupaya memikul beban kerja pada masa kini.

"Ketua Jabatan sering mengingatkan warga kerja untuk saling menjaga sesama mereka dan memaklumkan kepada Ketua Jabatan atau kaunselor, jika petugas menghadapi masalah kerja yang membebankan," katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sebuah laporan media baru-baru ini mengenai cabaran fizikal dan mental yang dihadapi oleh petugas kesihatan barisan hadapan di negeri ini.

Setakat semalam, Sabah adalah negeri yang paling teruk dilanda gelombang ketiga COVID-19 dengan 352 kes baharu daripada 649 kes yang direkod di seluruh negara. Kes COVID-19 di Sabah mencecah 14,053 kes daripada keseluruhan 30,090 kes di seluruh negara.

JKNS mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan orang ramai terhadap kesulitan dan cabaran yang perlu diharungi oleh petugas kesihatan pada masa ini, kata Dr Christina.

Bagaimanapun, JKNS berharap perkara ini tidak disalahertikan sebagai suatu keadaan luar tahap kawalan sehingga mewujudkan kegusaran orang ramai terhadap perkhidmatan HQE, katanya.

Dalam pada itu, Dr Christina turut menafikan sebuah artikel sebuah portal berita dalam talian bertajuk "man left to die of COVID-19 after HQE send him home", kerana dakwaan ketiadaan katil.

Dr Christina menjelaskan, kini terdapat dua hospital yang merawat pesakit COVID-19 di Kota Kinabalu iaitu di HQE yang mempunyai 456 katil dan Hospital Wanita & Kanak-kanak Likas dengan 117 katil.

"HQE telah menambah bilangan katil untuk penjagaan rapi daripada 16 buah kepada 40 buah iaitu 16 katil ditempatkan di Unit Rawatan Rapi dan 24 katil di wad Rawatan Separa Rapi (HDU) yang telah diubah suai sebagai wad rawatan rapi," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS