Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selangor bakal pinda enakmen, tingkat denda pesalah pencemaran sungai

Kerajaan Selangor menyuarakan hasrat meminda Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 untuk meningkatkan denda terhadap pesalah mencemaran sungai di negeri itu.

Menyuarakan perkara itu ketika pembentangan Belanjawan 2021 Selangor hari ini, menteri besarnya Amirudin Shari berkata pindaan itu adalah usaha kerajaan negeri mengatasi insiden pencemaran air pada masa akan datang.

Pencemaran air di Selangor menjadi antara punca gangguan bekalan air yang berulang di Lembah Klang.

"Kerajaan negeri akan melaksanakan pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 untuk meningkatkan bayaran denda bagi kesalahan pencemaran sumber air.

"Selain itu, kerajaan negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (Luas) akan menguatkuasakan pelaksanaan pelepasan efluen berdasarkan keupayaan kapasiti sungai di kawasan yang ditetapkan selaras seksyen 56, Enakmen Luas 1999 dan pelaksanaan Polluters Pay Principle (PPP)," katanya ketika Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, hari ini.

PPP adalah amalan mewajibkan pihak yang menyebabkan pencemaran menanggung kos pengurusan agar tidak menjejaskan alam sekitar dan kesihatan penduduk.

Menurut Amirudin, pindaan akan dibentangkan dalam sidang DUN akan datang yang dijadual bermula 2 November ini.

Pada 21 Oktober lalu, Amiruddin dilaporkan berkata kerajaan Selangor akan meningkatkan kadar hukuman ke atas pihak yang terbabit mencemar air di negeri itu melalui pindaan Seksyen 79 enakmen tersebut.

Menurut Amiruddin, melalui pindaan itu jumlah denda ke atas pihak yang menyebabkan pencemaran itu akan dinaikkan menjadi antara RM200,000 hingga RM1 juta.

Ketika ini undang-undang memperuntukkan jumlah denda maksimum RM500,000, namun tiada jumlah minimum ditetapkan.

Kenyataan itu dibuat selepas kejadian pencemaran air mentah berlaku buat kali kedua di Lembah Klang pada bulan Oktober menyebabkan berlaku gangguan bekalan air tidak berjadual.

Ia menjejaskan hampir 1.2 juta akaun pengguna Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ganti paip lama

Sementara itu, menyentuh pembangunan projek bekalan air di Selangor, Amiruddin berkata Air Selangor menyasarkan penurunan kadar air tidak berhasil (NRW) kepada 25 peratus pada tahun 2025.

"Bagi merealisasikan sasaran ini, ia akan melibatkan kerja-kerja penggantian paip utama yang dianggarkan sepanjang 6,000 km di seluruh negeri termasuk Putrajaya dan Kuala Lumpur.

"Air Selangor turut menyasarkan pelaksanaan penggantian paip-paip usang berdasarkan kepada pemilihan hotspot kawasan kekerapan paip pecah dengan nisbah 150 km paip setahun.

"Sehingga kini, sebanyak 303 hotspot merangkumi 716 km paip telah dikenal pasti untuk dilaksanakan di bawah Program Penggantian Paip bagi tahun 2016 hingga 2020," katanya.

Menurut Amiruddin, bagi tahun 2016 hingga 2019, sebanyak RM529 juta telah dibelanjakan dan bagi tahun 2020 hingga 2022 adalah sebanyak RM579 juta.

Selain itu, Amiruddin berkata antara usaha lain Air Selangor dalam menambah baik perkhidmatannya adalah dengan membangunkan Loji Rawatan Air Labohan Dagang Fasa 2 serta Loji Rawatan Air Sg Rasau yang dijangka dapat meningkatkan margin bekalan air di kepada sekurang-kurangnya 15 peratus menjelang tahun 2030.

Dia juga menyeru penduduk selangor agar sentiasa mengamalkan sikap berjimat cermat termasuk dalam penggunaan air.

"Penggunaan air per kapita di Selangor adalah 222 liter setiap hari, lebih tinggi daripada purata negara pada 201 liter serta piawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia, iaitu 165 liter sehari.

"Cara dan gaya hidup kita harus berubah dengan memikirkan air sebagai antara sumber amat penting yang harus ditangani secara mampan," katanya.

Lihat Komen
ADS