Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kit Siang: Mengapa soalan tentang Khairuddin di nombor 38?
Diterbitkan:  Nov 1, 2020 12:45 PM
Dikemaskini: 6:25 AM

Veteran DAP Lim Kit Siang mempersoalkan mengapa soalannya mengenai menteri PAS yang melanggar kuarantin Covid-19 diletak di nombor-nombor hujung dalam aturan mesyuarat, bukannya di nombor lebih awal bagi membolehkannya dijawab secara lisan di parlimen.

Lim berkata, soalan berkenaan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi PAS, Khairuddin Aman Razali itu diletakkan di tempat ke-38 - iaitu nombor keempat terakhir daripada 41 soalan dalam aturan urusan mesyuarat sidang Dewan Rakyat untuk esok (2 Nov).

“Mengapakah soalan saya berkenaan menteri PAS yang melanggari SOP kuarantin Covid-19 ini diletakkan di tempat ke-38 dalam Dewan Rakyat esok dan bukannya di satu kedudukan yang lebih awal bagi membolehkannya dijawab secara lisan dalam parlimen?

“Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah enggan menjawab persoalan mengenai kekeliruan dalam penguatkuasaan undang-undang di mana Khairuddin, hanya didenda selepas melanggar SOP kuarantin Covid-19 sejurus selepas kembali dari Turki pada 7 Julai.

“[...] soalan itu tidak diberikan keutamaan dan tidak akan dijawab secara lisan.

“Saya telah meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menjelaskan status terkini siasatan terhadap pelanggaran SOP kuarantin Covid-19 oleh Khairuddin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sedangkan, dakwa ahli parlimen Iskandar Puteri itu, isu berkenaan berkepentingan tinggi dan pastinya melibatkan banyak pertanyaan tambahan oleh ahli-ahli parlimen yang tak berpuas hati daripada kedua-dua belah pihak yang tertunggu-tunggu untuk bertanyakan isu berkenaan.

Tambahnya lagi, perkara itu penting memandangkan ia akan menentukan tahap kepercayaan dan sokongan masyarakat terhadap pendekatan melibatkan "keseluruhan kerajaan" dan "keseluruhan masyarakat" yang dilancarkan kerajaan dalam perang melawan Covid-19.

Tak mahu komen lanjut

Kes Khairuddin mendapat perhatian umum kerana dianggap dia mendapat layanan yang berbeza daripada rakyat biasa.

Khairuddin dilaporkan mengunjungi Turki pada 3 Julai dan kembali ke Malaysia pada 7 Julai, namun tidak menjalani kuarantin 14 hari, sebaliknya menghadiri banyak acara umum termasuk sesi parlimen dan acara di Istana Negara.

Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 7) 2020, antaranya memperuntukkan mereka yang pulang dari luar negara untuk kuarantin wajib selama 14 hari.

Sebelum 24 Julai, mereka yang kembali dari luar negara dan diuji negatif dibenarkan melakukan kuarantin di rumah sendiri selama 14 hari - dalam tempoh berkenaan mereka tidak dibenarkan meninggalkan rumah dan mesti diuji semula pada hari ke-13.

Khairuddin didakwa tidak melalui proses berkenaan.

Mulai 24 Julai dan seterusnya, kuarantin mesti dilakukan di pusat-pusat yang ditetapkan oleh kerajaan. Langkah itu diperkenalkan semula setelah ramai warga yang melanggar syarat kuarantin di rumah.

Khairuddin dikenakan denda kompaun sebanyak RM1,000, bertarikh 7 Ogos setelah didapati melanggar peraturan kuarantin tersebut, tetapi Noor Hisham mengabaikan pertanyaan apakah kompaun itu diundur tarikhnya (backdated).

Namun, kemudian, Jabatan Peguam Negara menjelaskan bahawa setelah siasatan, didapati bahawa Khairuddin tdiizinkan pulang ke rumah kerana tidak diberikan borang 14B untuk menjalani kuarantin kendiri sekembalinya beliau pada 7 Julai .

Seamalam, Malaysiakini cuba meminta penjelasan daripada Dr Noor Hisham tentang mengapa KKM mengeluarkan kompaun terhadap Khairuddin dan adakah kompaun itu akan dibatalkan kerana Jabatan Peguam Negara mendapati tidak ada kesalahan yang dilakukan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai perkara itu.

"Di bawah Akta 342, KKM telahpun turunkan kuasa penguatkuasaan kepada polis dan Peguam Negara.

"Kes tersebut telah disiasat polis dan peguam negara jadi saya tidak mahu komen lebih lanjut pada siasatan dijalankan," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya semalam.

Lihat Komen
ADS