Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hotel, pawagam cari jalan alternatif tahan kesan ekonomi Covid-19
Diterbitkan:  Nov 2, 2020 12:26 PM
Dikemaskini: 4:26 AM

Dengan sempadan antarabangsa ditutup sejak Mac, pendapatan daripada sektor pelancongan luar negara juga turut lebur, dan industri perhotelan menjadi antara yang paling teruk terjejas oleh wabak Covid-19.

Tahun yang mencabar ini menyebabkan banyak hotel gulung tikar, termasuk hotel-hotel ikonik yang menjadi mercu tanda buat komuniti tempatan untuk berdekad-dekad lamanya.

Di tengah waktu yang genting ini, hotel mencari jalan kreatif untuk terus bertahan.

Ada yang bertuah, mencapai persetujuan dengan kerajaan untuk menjadi hotel kuarantin.

Meskipun tidaklah membawa pulangan terlalu tinggi, ia dapatlah membantu mereka menampung sebahagian kos operasi.

Untuk yang lain-lain, mereka harus jadi kreatif.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa hotel menawarkan pakej “kerja dari hotel”.

Untuk mereka yang jelak terperuk di rumah, banyak hotel menawarkan peluang bekerja dari lobi hotel dengan minuman kopi tanpa had. Ada pula yang menawarkan bilik untuk bekerja, walaupun pada kadar harga yang lebih tinggi.

Khidmat hotel lima bintang

Ada juga hotel yang bahkan menawarkan perkhidmatan makan tengah hari, internet dan parkir - secara percuma.

Antaranya yang menawarkan perkhidmatan sedemikian termasuklah The Royale Chulan, Impiana Hotel dan Seri Pacific Hotel.

Ada pula hotel yang menawarkan khidmat pembersihan seperti Hotel Mandarin Oriental.

“Nikmati ketenangan, serahkan kerja-kerja pembersihan kepada kami. Hubungi petugas pengemasan kami yang terlatih untuk menyerikan rumah anda,” kata satu iklan.

Menggambarkan hotelnya sebagai “hotel mewah bertaraf lima bintang, hotel itu menawarkan perkhidmatan itu kepada kawasan dalam lingkungan 10km dari KLCC.

Bukan hotel saja yang mencari jalan untuk bertahan. Satu lagi perniagaan yang menerima kesan ialah industri pawagam.

Bulan lalu, Golden Screen Cinemas (GSC) dan TGV mula menawarkan ruang untuk disewa oleh pemain (gamers) yang mahu bermain di layar besar.

Meskipun dengan langkah seumpama itu, Persatuan Pemamer Filem Malaysia (Mafe) mengumumkan yang pawagam akan tutup buat sementara waktu di seluruh negara bermula minggu ini selepas pemain industri mencapai persetujuan untuk mengambil langkah itu secara bersama.

Kata mereka, langkah itu perlu demi kelangsungan industri dalam jangka masa panjang.

Industri penerbangan juga bergelut untuk meneruskan kelangsungan.

'Terbang' atas jalan

Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air antara syarikat penerbangan yang telah melakukan penstrukturan hutang serta pemberhentian pekerja dalam usaha mereka untuk bertahan.

Kemelut ini bukan sahaja melanda syarikat penerbangan Malaysia, malah industri penerbangan di seluruh dunia berdepan pergelutan serupa.

Tapi ada yang mengambil langkah tersendiri bagi memastikan perniagaan tetap berjalan, seperti “flight to nowhere” (terbang tidak ke mana-mana) - berlepas, menghabiskan masa di udara, dan mendarat di lapangan terbang yang sama.

Qantas dari Australia dan Asiana dari Korea Selatan antara syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan seumpama itu.

Singapore Airlines juga membuat perkhidmatan serupa, tetapi kemudian beralih ke tawaran perkhidmatan seumpamanya di atas jalan setelah timbul kebimbangan berhubung kesan alam sekitar terhadap “flights of nowhere”.

Pusingan pertama pengalaman makan malam di dalam “penerbangan di atas jalan”, habis dijual dalam masa 30 minit.

Harga tiket antara RM150 untuk ekonomi hinggalah RM1,800 untuk kelas suite. 

Lihat Komen
ADS