Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin tak perlu risau, ragu sokongan BN, kata Tajuddin

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak perlu bimbang dengan sokongan BN terhadap Belanjawan 2021, kata anggota Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, BN sebulat suara akan menyokong Belanjawan 2021 tanpa ragu-ragu.

"Kita buat keputusan kita sokong bajet (belanjawan) ini, kita nak bagi tahu kita tidak ragu-ragu kita akan sokong bajet yang akan dibentangkan pihak kerajaan.

"Perdana menteri tak perlu risau, jangan bimbang dan ragu," katanya ketika ditemui di ibu pejabat Umno petang ini.

Pada 28 Okt lalu, Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyeru semua ahli parlimen menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Dewan Rakyat 6 Nov ini.

Dalam kenyataan media Istana Negara yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin, baginda menekankan pentingnya belanjawan berkenaan dalam menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

"Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa Belanjawan 2021, yang akan dibentangkan di Parlimen pada masa yang terdekat, adalah amat penting kepada kerajaan dan pihak-pihak berkuasa, khususnya para petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha-usaha membendung dan menangani ancaman wabak ini dari terus merebak.

"Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menyeru ahli-ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda untuk mereka memberhentikan segera segala perbalahan politik dan sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa berkata ketua whip BN akan memberi penjelasan berhubung pembentangan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

"Ketua whip akan maklumkan, kita sekarang bincang saja untuk mendapat maklumat supaya semua orang faham.

"Keputusan parti akan dimaklumkan ketua whip. Di dalam Parlimen ketua whip yang akan memaklumkan.

"Yang penting kita rasa lega dan gembira semua ahli-ahli Parlimen BN solid bersatu hati dan buat keputusan berasaskan kepada keputusan-keputusan yang parti putuskan," katanya ketika ditemui.

Lihat Komen
ADS