Demi Allah, isteri saya hanya Nori, kata Khairy
"Demi Allah, isteri saya hanya satu iaitu Nori binti Abdullah," kata Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bagi menafikan dakwaan kononnya beliau telah berkahwin dengan pelakon/penyanyi Maya Karin.
"Demi Allah, isteri saya hanya satu iaitu Nori binti Abdullah," kata Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bagi menafikan dakwaan kononnya beliau telah berkahwin dengan pelakon/penyanyi Maya Karin.
Beliau berkata, sudah sampai masanya baginya menjawab segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya, termasuk berkahwin dengan pelakon popular itu, sambil berkata: "Saya memegang prinsip TTP iaitu Tak Teringin Pun".
Menurut laporan Bernama, Khairy menyifatkan serangan yang dilemparkan terhadapnya begitu peribadi, dan sebagai seorang yang bermaruah, fitnah itu perlu diperjelaskan segera terutama kepada anggota parti.
"Saya akan menggunakan peluang merasmikan lebih 30 mesyuarat bahagian Pemuda di seluruh negara untuk menjelaskan segala tohmahan itu, dan kini masanya yang paling sesuai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Pemuda Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Kelantan.
Menantu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu, berkata beliau berdiam diri selama ini bukan kerana takut, tetapi sebaliknya merasakan bukan masa yang sesuai untuk menjawab segala tuduhan tersebut.
"Mereka menyerang peribadi saya selepas gagal mencari kelemahan Pak Lah, dan apa yang mereka buat kini menyerang menantunya, seolah-olah saya ini tidak patriotik lagi terhadap negara," katanya.
'Tegak kebenaran'
Khairy berkata, jika beliau tidak menjelaskan segala tohmahan itu semasa mesyuarat Pemuda, segala fitnah itu akan dianggap benar oleh sesetengah pihak dan memberi peluang lebih banyak kepada pihak tertentu memperbesarkannya lagi.
"Saya ada tanggungjawab kepada parti dan bila saya menjawab bukan bermakna saya mahu berperang sebaliknya bertujuan menegakkan kebenaran," katanya.
Mengenai kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya beliau banyak mempengaruhi Abdullah dalam membuat keputusan, Khairy berkata sesiapapun berhak membuat kritikan tetapi biarlah mereka mempunyai maklumat yang betul.
Katanya, beliau kecewa kerana segala penjelasan kerajaan terhadap isu yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir masih tidak memuaskan hati bekas perdana menteri itu sehingga kerajaan terpaksa mendedahkan beberapa dokumen sulit mengenai isu pembatalan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.
"Kerajaan telah mengambil risiko mendedahkan beberapa dokumen itu dan perkara itu sepatutnya sudah selesai tetapi masih dibangkitkan lagi," katanya.
Khairy juga meminta anggota Pemuda Umno membincangkan isu serangan Israel terhadap Palestin dan Lebanon dalam persidangan perwakilan mereka sebelum pergerakan itu mengambil tindakan proaktif untuk mendesak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengambil langkah segera ke arah menghalang Israel daripada terus melakukan serangan tidak berperi kemenanusiaan itu.
"Pemuda Umno juga mahu PBB memansuhkan kuasa veto yang dipegang kuasa besar seperti Amerika Syarikat hari ini kerana jelas ia menindas negara-negara Islam," katanya.
Report this comment


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.