Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PSM tolak cadangan keluar KWSP, sasar ahli politik 'kaya raya'
Diterbitkan:  Nov 4, 2020 8:44 PM
Dikemaskini: 12:49 PM

PSM menolak cadangan untuk membenarkan pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebaliknya mensasarkan ahli politik yang menurutnya "kaya raya" bagi meringankan beban pekerja yang diberhentikan.

Menurut timbalan presiden parti itu, S Arutchelvan, jawapan bagi permasalahan tersebut ada di tangan ahli-ahli politik berkenaan.

Tanpa menyebutkan nama, dia berkata ahli-ahli politik ini hanya perlu menyumbangkan dua jam tangan berjenama dari koleksi mereka untuk mendapatkan dana bagi membantu pekerja yang hilang pekerjaan.

"Selama bertahun-tahun, kita membaca tentang kecenderungan ahli politik terhadap jam tangan seperti itu dan melihat foto-foto mereka yang memakai jam tangan ini di majis-majlis umum.

"Satu jam berharga lebih tinggi daripada apa yang boleh diperoleh pekerja sepanjang hayat mereka.

"Jadi itu boleh memberi perbezaan besar bagi mereka yang bergelut untuk memenuhi keperluan mereka, ”katanya kepada Malaysiakini.

Arutchelvan berkata demikian berhubung cadangan agar pekerja yang diberhentikan mengeluarkan dana dari Akaun 1 KWSP mereka.

Sebelum itu, dia mengatakan langkah tersebut sama seperti "merompak wang simpanan pekerja"

Sebaliknya, dia berkata "golongan kaya raya, termasuk anggota parlimen" harus berkorban dan membuat potongan gaji.

Cadangan tak 'masuk akal'

Menyifatkan cadangan itu sebagai 'tidak masuk akal', Arutchlevan berkata akaun 1 KWSP adalah untuk persaraan pekerja yang hanya boleh dikeluarkan setelah mencapai usia 50, 55 dan 60 tahun.

Pemimpin PSM itu berkata kerajaan harus memastikan dana tersebut tidak disentuh dan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan membantu pekerja yang diberhentikan.

“PSM telah mencadangkan UBI (Pendapatan Asas Universal) yang akan memastikan individu yang hilang pekerjaan akibat krisis ekonomi akibat wabak itu akan dilindungi.

"Idea-idea seperti itu perlu diterokai dan dilaksanakan daripada mengambil wang persaraan pekerja. Anggota Parlimen tidak boleh berpandangan cetek dan menyokong langkah seperti itu, ”tambahnya.

Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk membenarkan pengeluran akaun 1 KWSP .

"Saya telah berbincang dengan Kementerian Kewangan dan kita pada dasarnya bersetuju dan bersedia untuk mengkaji cadangan untuk pencarum yang benar-benar memerlukan untuk mengeluarkan peruntukan daripada Akaun 1," katanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin juga menyatakan bahawa lebih 30 peratus ahli KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM5,000 dalam akaun mereka.

"Ada yang mempunyai caruman yang kurang daripada RM1,000. Oleh itu simpanan KWSP ini tidak semestinya dapat menangani masalah aliran tunai pencarum," katanya.

Lihat Komen
ADS