Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMK Sabah ajak tolak 'belanjawan cincai', Pemuda PAS anggap 'menyeluruh'
Diterbitkan:  Nov 7, 2020 11:00 AM
Dikemaskini: 6:15 AM

BELANJAWAN 2021 | Ketua Penerangan Pemuda PKR (AMK) Sabah, Razeef Rakimin, menyeru ahli parlimen - sama ada pembangkang atau kerajaan - menolak Belanjawan 2021 yang dibentangkan semalam.

Razeef yang menyifatkanya ia sebagai belanjawan “cincai” berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak serius semasa menyediakan belanjawan kerana ia dilihat seperti kitar semula dan tidak jelas.

“Kita perlukan satu belanjawan yang efisyen bagi membantu rakyat serta memulihkan ekonomi.

“Jika blok pembangkang mampu memberikan belanjawan yang lebih baik kenapa kita perlu menyokong belanjawan kerajaan yang dilihat lebih menguntungkan pihak tertentu, bukan rakyat secara keseluruhannya.

“Ini bukan masa untuk bermain politik tapi masa untuk kita berikan yang terbaik kepada rakyat dan negara untuk jangka masa panjang, bukan hanya kelebihan untuk suku pertama 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Razeef, lebih mengecewakan apabila peruntukan lebih RM81 juta diberikan kepada alat propaganda kerajaan, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang hanya mempunyai 52 orang pekerja.

Dia berkata, jumlah itu tidak setimpal jika dibandingkan dengan peruntukan elaun khas secara one-off untuk petugas barisan hadapan sebanyak RM500 kepada 100,000 petugas kesihatan.

Tambahnya, berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara sehingga melumpuhkan ekonomi rakyat, negara memerlukan belanjawan jangka panjang dan bukannya pemberian one-off kepada rakyat.

"Maka sekali lagi saya menyeru ahli-ahli parlimen menolak belanjawan cincai yang dibentangkan kerajaan PN," katanya.

Harap semak semula

Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) meluahkan rasa kecewa terhadap Kementerian Kewangan kerana mengabaikan golongan mahasiswa dalam pembentangan belanjawan.

Presidennya, Ahmad Farhan Rosli, mempersoalkan pengurangan peruntukan Biasiswa Pendidikan Tinggi dalam belanjawan kali ini daripada RM170 juta pada 2020 kepada hanya RM161.5 juta pada 2021.

"Ini sekaligus bakal menimbulkan keresahan dan kesulitan mahasiswa yang genting dalam situasi ekonomi yang tidak menentu kini," katanya.

“Tiada sebarang insentif mahupun bantuan khas buat mahasiswa daripada keseluruhan peruntukan RM14.4 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Dalam suasana sukar mahasiswa berhadapan wabak Covid-19, kerajaan wajar menimbang untuk menyediakan bantuan one-off bernilai RM300 melalui Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi (BPPT-Kad Siswa) yang dihentikan pada 2020,” katanya.

Ahmad Farhan juga berharap belanjawan tersebut disemak semula demi kepentingan hak dan kebajikan mahasiswa agar tidak dipinggirkan memandangkan kebanyakannya sedang berdepan dengan masalah ekonomi yang sangat meruncing.

Bagi Pemuda PAS pula, mereka berpendapat belanjawan dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam sangat menyeluruh dengan capaian manfaat yang maksimum kepada rakyat Malaysia.

Ketuanya Khairil Nizam turut berterima kasih kepada kerajaan kerana didakwanya sudi mendengar dan menerima cadangan mereka berhubung isu pengangguran dan pembangunan golongan belia.

“Pemuda PAS menyokong penuh Belanjawan 2021 ini. Namun begitu, bagi menjadikan belanjawan ini benar-benar belanjawan perpaduan, Pemuda PAS menyeru ahli parlimen agar berbahas dengan matang dan sihat serta meletakkan kepentingan rakyat benar-benar di hadapan,” katanya.

Untuk rekod, Belanjawan 2021 yang bernilai RM322.5 bilion merupakan yang terbesar dalam sejarah negara. 

Lihat Komen
ADS