Saham Amanah: PM mahu KWSP gantung sementara
Perdana Menteri meminta pengurusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengetatkan lagi syarat pengeluaran wang oleh pencarum untuk tujuan pelaburan dalam unit amanah saham.
Perdana Menteri meminta pengurusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengetatkan lagi syarat pengeluaran wang oleh pencarum untuk tujuan pelaburan dalam unit amanah saham.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu tindakan itu diambil serta merta dan jika perlu skim pengeluaran berkenaan perlu dihentikan sementara bagi mengelakkan pencarum terus kerugian.
Berucap pada perhimpunan bulanan kakitangan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, Abdullah berkata, KWSP mestilah diyakini terlebih dahulu terhadap sebarang usaha untuk mengeluarkan wang simpanan untuk tujuan pelaburan semula.
Perdana Menteri mengulas laporan yang memetik sumber kesatuan sekerja bahawa pencarum KWSP yang melabur dalam skim saham amanah telah kerugian kira-kira RM600 juta.
"Ini adalah satu kejadian yang malang, yang mendukacitakan...malang bagi orang yang menggunakan kesempatan untuk mengeluarkan wang untuk melabur. Saya tidak tahu dia melabur di mana," katanya.
Menurut laporan Bernama, beliau menasihatkan pencarum membuat pilihan tepat sebelum melabur untuk mengelak pelaburan yang dibuat itu mengalami kerugian.
"Kalau dimasukkakan ke dalam unit-unit amanah yang menjanjikan (pulangan) yang bukan-bukan, itu akan menyebabkan satu kerugian kepada orang yang berkenaan.
"Mungkin dilaburkan ke dalam Unit Trust yang tidak bermaya agaknya," kata Abdullah.
Perdana Menteri berkata unit-unit amanah yang diuruskan oleh Permodalan Nasional Berhad adalah satu contoh skim pelaburan yang baik.
"Itulah bila saya baca, tindakan yang boleh diambil oleh pihak KWSP meluluskan permohonan pengeluaran wang untuk dilabur ke dalam unit amanah ialah berhenti sekejap."
"Syarat untuk pengeluaran wang elok kita perketatkan dan badan itu perlu diyakini yang wang yang dikeluarkan untuk pelaburan dibolehkan bagi KWSP bagi seorang penyimpan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan mestilah dipenuhi," kata Abdullah.
Projek RMK9
Sementara itu, Perdana Menteri berharap kesemua projek Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) terutamanya yang di bawah tadbiran JPM sudah disediakan untuk ditender.
Langkah itu, katanya perlu bagi memastikan projek berkenaan dilaksanakan dengan segera.
Selain itu, langkah itu juga secara langsung akan menyekat timbulnya dakwaan serta fitnah sebenarnya tidak wujud projek dengan nilai seperti yang diumumkan kerajaan sebelum ini, kata Abdullah.
"Kerana ada orang yang cuba menyebar macam-macam maklumat dan fitnah semua projek yang bernilai beratus-ratus juta ini sebenarnya tak ada, tak ada semua dah habis dah, semua orang dah ambik dah.
"Itu adalah suatu pembohongan yang dibuat oleh orang tertentu oleh kerana sengaja hendak memperlecehkan kerajaan, kerana dengan sengaja untuk membuatkan orang tidak suka dengan kita, tidak percaya dengan kita," kata beliau.
Abdullah berkata beliau tidak menyangkal bahawa terdapat projek berasaskan runding terus atau berasaskan "limited tender" yang sehingga kini tidak dapat diurus dan dilaksanakan sedangkan ia berlaku sejak dulu lagi.
Namun begitu, katanya, projek yang paling banyak diumumkan di bawah RMK-9 adalah berasaskan tender terbuka yang pemilihan terhadap syarikat pelaksananya dibuat berdasarkan cadangan pelaksanaan projek yang berdaya maju.
Sehubungan itu, beliau meminta JPM meneliti permohonan syarikat pembida tender projek RMK-9 supaya syarikat yang benar-benar mampu mengusaha dan melaksanakan projek berkenaan sahaja yang dipilih.
"Ini terutamanya di kalangan syarikat-syarikat yang dipilih untuk melaksanakan projek yang mempunyai cadangan yang elok, yang baik," katanya.

