Siasatan kes semburan Dr. M hampir siap
Siasatan kes semburan bahan pemedih mata yang mengenai bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 28 Julai lalu hampir selesai.
Siasatan kes semburan bahan pemedih mata yang mengenai bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 28 Julai lalu hampir selesai.
Polis kini hanya menunggu laporan Jabatan Kimia sebelum merumuskan dan memutuskan tindakan selanjutnya.
"Siasatan sudah hampir lengkap, cuma polis sedang tunggu laporan untuk mengetahui tentang jenis bahan kimia yang terkandung di dalam bahan pemedih mata itu dan kesan daripada semburan itu," kata Ketua Polis Kelantan Datuk Zulkifli Abdullah hari ini.
Beliau berkata, polis sudah mengambil 27 keterangan daripada saksi-saksi, dan siasatan kes itu masih diteruskan.
Menurut laporan Bernama, seorang usahawan bergelar Datuk ditangkap kira-kira 11 jam selepas kejadian pada 28 Julai itu, dan beliau dibebaskan selepas tempoh tahanan remannya tamat pada 31 Julai lepas.
Zulkifli memberitahu wartawan selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2005 kepada kakitangan polis Kelantan di Kota Bharu.
Pada majlis itu, seramai 103 orang angota polis dianugerahkan khidmat cemerlang dan 70 daripadanya merupakan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kelantan.
Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Zulkifli berkata sepanjang Julai, kes kecurian motosikal meningkat sebanyak 45 peratus, manakala kes pecah rumah pula meningkat sebanyak 38.3 peratus.
Zulkifli berkata polis juga berbincang dengan pihak berkuasa tempatan di Kelantan termasuk Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB) untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan yang kerap berlaku jenayah.
Dengan adanya CCTV, beliau berharap ia dapat membantu mengurangkan kadar jenayah.
Katanya orang ramai juga perlu bekerjasama dengan polis bagi membanteras jenayah terutama melalui program Rakan Cop.

