Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA gesa Adun Ketari letak jawatan
Diterbitkan:  Nov 10, 2020 5:53 PM
Dikemaskini: 9:54 AM

MCA menggesa Adun Ketari, Young Syefura Othman meletakkan jawatan selepas didakwa melanggar perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Dalam satu kenyataan hari ini, Naib Ketua Biro Publisiti MCA, Leong Kim Soon berkata Young Syefura harus meletakkan jawatan sekiranya tidak dapat mempraktikan apa yang diperkatakannya.

"Pada 22 Ogos, Young Syefura mengecam Menteri Industri Utama dan Komoditi, Khairuddin Razali apabila mendesaknya meletakkan jawatan. Ironinya, dia juga melakukan hal yang sama hari ini.

"Sekiranya dia adalah orang yang berprinsip dan tegas dengan kata-katanya, maka apa tindakan selanjutnya jika bukan melepaskan jawatannya sebagai anggota Dun Ketari?" soal Leong.

Leong mendakwa Young Syefura juga tidak telus dalam permohonan maafnya apabila ia hanya dilakukan setelah dilaporkan akhbar.

"DAP juga harus bersuara atas perkara ini dan mengambil tindakan atas tingkah lakunya yang tidak dapat diterima dan bukannya berdiam diri," katanya.

Young Syefura menulis permohonan maaf di Twitter semalam setelah ada warga maya mendakwa dia melanggar larangan perjalanan antara daerah berdasarkan foto yang disiarkan di akaun instagramnya.

Berdasarkan lokasi di instagram, foto itu diambil di Avani Sepang Goldcoast Resort di Selangor, yang memaparkan Young Syefura dan beberapa yang lain sedang berkelah di tepi pantai.

"Saya memohon maaf jika tindakan saya melanggar sebarang SOP Covid-19. Saya tidak menggunakan sebarang kelebihan sebagai seorang wakil rakyat untuk bergerak di dalam Selangor, negeri saya bermastautin.

"Saya rela disiasat oleh pihak berkuasa jika tindakan saya melanggar sebarang SOP Covid-19," katanya di Twitter hari in," tulisnya.

Warga maya mengecam Young Syefura dengan sebahagiannya membangkitkan kritikannya terhadap Khairuddin sebelum ini.

Khairuddin dikecam hampir tiga bulan oleh ahli politik Pakatan Harapan setelah diketahui tidak menjalani kuarantin di rumah apabila kembali dari luar negara pada Julai lalu.

Peguam Negara memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut terhadap Khairuddin berikutan menteri berkenaan tidak diserahkan dengan borang 14b di bawah seksyen 15 (1) akta 342 bagi tujuan menjalani perintah kuarantin.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan mendenda Khairuddin sebanyak RM1,000 dengan alasan yang masih belum diketahui.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS