Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, mereka yang menyebarkan fitnah kononnya berlaku penyelewengan dalam kerajaan pimpinannya sebenarnya berniat jahat untuk memperlekehkan beliau dan mungkin mempunyai agenda tertentu.

Sehubungan itu Perdana Menteri mahu pihak yang membuat tuduhan tersebut tampil memberikan bukti atau menerima padah daripada pembohongan itu.

Beliau berkata, tuduhan yang dilemparkan ke atas pentadbirannya telah memberi gambaran seolah-olah beliau telah menipu rakyat.

"Ini cakap fitnah ini, kalau dia betul-betul, tulis surat, biar berani kerana benar. Cakap dan kita akan ambil tindakan. Saya nak dia buktikan macam mana, apa maklumat, di mana dia dapat maklumat, saya hendak. Kalau dia tak dapat, rasalah padahnya," katanya.

Abdullah berkata demikian ketika diwawancara oleh Pengerusi Bernama Datuk Mohd Annuar Zaini dalam program khas "Bersemuka Bersama Perdana Menteri" kira-kira 40 minit yang disiarkan TV3 malam tadi.

Sebelum ini, pelbagai tuduhan telah dilemparkan terhadap kerajaan melalui Internet yang mempertikaikan kewibawaan Abdullah memimpin negara termasuk oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut laporan Bernama, yang terbaru adalah dakwaan kononnya pengumuman projek bernilai RM15 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan adalah satu sandiwara kerana kontraktor tertentu telah dipilih walaupun tender belum dikeluarkan.

Abdullah berkata selain dirinya, mereka yang membuat tuduhan itu juga boleh menulis surat kepada polis, Badan Pencegah Rasuah dan agensi lain.

"Saya hendak dia jelaskan macam mana dia boleh kata begitu sebab ini pembohongan. Dia nak menghina kerajaan, dia nak menghina saya, macam mana boleh macam itu," tegas beliau.

Mengenai dakwaan yang beliau lambat membuat keputusan, Abdullah mengakui beliau memerlukan masa kerana setiap keputusan yang dibuat akan memberi kesan kepada rakyat dan negara.

"Ada masa kita perlu berhati-hati. Satu perkara yang saya tahu sejak saya jadi PM, apa yang saya buat, buruk baiknya banyak orang yang akan terima kesannya.

"Kalau buruk, buruk padahnya, kalau kesan baik alhamdulillah, tetapi yang saya bimbang kalau jadi salah, jadi tak elok, ramai yang akan menderita, ramai yang akan sengsara, ini yang saya takut," katanya.

Ditanya sikapnya yang dianggap terlalu berlembut, Perdana Menteri berkata beliau lebih suka menjadi pemimpin yang dihormati daripada ditakuti orang ramai sebagaimana pendapat saintis politik terkenal Nicolo Machiavelli.

"Saya tak percaya, sebagai orang Islam, pendekatan Machiavelli itu patut diamalkan, tak boleh. Kita tak boleh apa jua cara dapat dihalalkan asalkan apa yang mahu diperolehi. Saya tak berpegang kepada falsafah itu," katanya.

Menurutnya sikap berlembut atau keras bukanlah perkara penting untuk menjadi pemimpin tetapi yang utama menegakkan kebenaran dan adil.

Perdana Menteri menambah beliau sentiasa memantau perjalanan kerajaan termasuk tindakan menteri-menteri kabinet dan membuat teguran jika perlu.

"Ada saya tegur dalam (mesyuarat) jemaah menteri. Ada saya tegur dalam telefon... Itu cara saya menegur orang, dalam kereta saya telefon," katanya.