Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tanah runtuh: Dua mayat tertimbus, dua rumah musnah di Perak dan Sabah
Diterbitkan:  Nov 10, 2020 6:02 PM
Dikemaskini: 10:02 AM

Hujan lebat di beberapa negeri awal hari ini menyebabkan kejadian tanah runtuh di Perak dan Sabah, masing-masing mengorbankan dua nyawa serta memusnahkan dua rumah.

Kejadian pada permulaan monsun di negara ini melibatkan sebuah resort peranginan di Tambun, Perak yang mengakibatkan dua penghuni resort tertimbus, manakala kejadian di Kimanis, Sabah memusnahkan dua rumah namun tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Goh Boon Keng berkata mayat mangsa lelaki Ooi Chee Wei, 39, ditemukan pada 9.55 pagi sebelum mayat mangsa wanita, Lee Tze Juin, 32, dijumpai selang beberapa minit kemudian di dalam jakuzi di sebuah unit resort itu.

Kedua-dua rakyat tempatan itu dilapor tertimbus akibat tanah runtuh setinggi 100 meter berikutan pergerakan air di atas bukit, kemungkinan disebabkan hujan lebat sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Goh berkata usaha mengeluarkan kedua-dua mangsa terpaksa ditangguh beberapa kali pada awal pagi tadi susulan terdapat pergerakan tanah dan pengaliran air namun disambung semula selepas mendapat nasihat Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Perak dengan menggunakan jengkaut.

Katanya kejadian disedari kakitangan resort yang kemudian mengarahkan semua yang menginap di dalam empat unit berpenghuni agar menyelamatkan diri, namun dua mangsa berkenaan terperangkap.

The Banjaran Hotsprings Retreat dalam kenyataan pula menjelaskan tiada penghuni lain dan kakitangan yang terjejas dengan kejadian itu dan kesemua mereka telah dipindahkan ke tempat selamat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Perak Datuk Ahmad Zukni Ahmad berkata lokasi resort peranginan tersebut masih tidak selamat kerana pergerakan tanah dikesan masih berlaku di kawasan berkenaan.

“Keadaan baru berlaku awal pagi tadi, ditambah dengan faktor cuaca hujan, jadi dalam tempoh dua ke tiga hari ini keadaan tidak selamat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), fasa awal Monsun Timur Laut diramal berlaku bermula November hingga Disember akan menyaksikan hujan lebat berterusan sehingga boleh mengakibatkan kejadian bencana alam seperti banjir di kawasan berkedudukan rendah.

Selain banjir, sering kali berlaku pada musim tengkujuh ialah kejadian tanah runtuh dan gelongsoran tanah di kawasan sekitar lereng dan cerun bukit.

Sementara itu, dalam kejadian di Kimanis, Sabah, dua buah rumah musnah akibat tanah runtuh di kawasan lereng bukit di Batu 18, Jalan Kimanis-Keningau.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kimanis Johainin Ruslan berkata kejadian berlaku di kawasan berbukit setinggi 150 meter dan terdapat sejumlah rumah di kawasan berkenaan.

Hasil siasatan awal mendapati runtuhan setinggi 150 meter itu memusnahkan dua buah rumah yang tidak berpenghuni dan selepas pemeriksaan Jabatan Bomba dan Penyelamat di kawasan berkenaan, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS