Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M: Rakyat sudah lapar, tertekan tapi k'jaan belum ada tindakan khusus
Diterbitkan:  Nov 12, 2020 9:43 AM
Dikemaskini: 1:43 AM

Dr Mahathir Mohamad berkata sudah ada rakyat Malaysia kelaparan kerana kehilangan pendapatan susulan Covid-19 tetapi kerajaan Perikatan Nasional masih tidak dapat mencari jalan membantu mereka.

Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, bekas perdana menteri itu menggesa kerajaan menangani isu berkenaan dengan segera.

“Saya menanti-nanti satu tindakan yang khusus untuk menangani masalah Covid-19 dan juga kejatuhan ekonomi, tetapi tidak ada banyak idea untuk mengatasi masalah ini, terutama kesan Covid-19 ke atas ekonomi.

“Tidak ada satu perancangan atau nasihat dari kerajaan, bagaimana rakyat boleh mengatasi tekanan yang disebabkan oleh Covid-19.

“Ada orang yang sekarang ini kebuluran kerana pendapatan mereka sudah hilang sama sekali,” katanya seperti dipetik dalam wawancara berkenaan.

Mahathir memetik kes bekas pengurus kilang yang tertekan selepas dibuang kerja sehingga bertindak menyerang tempat kerjanya sebelum maut dirempuh treler semasa melarikan diri, seperti dilapor media.

Kata ahli parlimen Langkawi itu, kes berkenaan merupakan salah satu contoh rakyat yang tertekan selepas kehilangan pekerjaan.

Mahathir juga memetik laporan yang mengatakan penduduk di Lahad Datu, Sabah mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah lanjutan sekatan pergerakan kerana kebanyakan mereka bekerja dengan gaji harian.

Kadar pengangguran negara meningkat 0.1 peratus kepada 4.6 peratus dengan 737,500 menganggur pada bulan September berbanding bulan sebelumnya.

Mahathir mendakwa ramai individu yang tidak mendapat manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi Laksana dan bantuan melalui program Prihatin.

Menurutnya, kerajaan seharusnya menggunakan perniagaan platform dalam talian untuk membantu rakyat.

Sementara itu, Mahathir mendakwa bahawa Belanjawan 2021 adalah populis dan menggesa kerajaan mempertimbangkan permintaan pembangkang untuk memastikan belanjawan itu disokong oleh semua.

Belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan PN pada Jumat lalu tidak diterima dengan baik kerana disifatkan gagal menangani krisis ekonomi yang sedang dialami negara di tengah pandemik Covid-19.

Belanjawan itu juga turut dikritik berhubung dana RM85.5 juta yang akan disalurkan ke Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan RM8.6 juta untuk Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT).

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) BN Najib Razak dan ketua pembangkang Anwar Ibrahim masing-masing berkata tidak akan menyokong belanjawan itu jika tiada pindaan dibuat.

Najib menerajui 43 anggota parlimen di bawah BN dan Anwar memimpin 91 kerusi di bawah Pakatan Harapan.

Sementara itu, Mahathir turut mendesak kerajaan untuk memotong gaji mereka yang berpendapatan tinggi, termasuk menteri dan penjawat awam, untuk disalurkan kepada dana bagi memerangi Covid-19.

Dia mengulangi bahawa dia bersedia mengambil potongan pencen sebanyak 10 peratus.

"Saya tiada masalah. Saya sebenarnya mahu kerajaan mengurangkan gaji mereka yang dibayar dengan gaji besar," tambah Mahathir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS