Polis mula siasat Malaysiakini
Polis memulakan siasatan terhadap malaysiakini hari ini dengan mengambil keterangan dari seorang editor berhubung laporan yang didakwa mengandungi unsur-unsur memfitnah.
Polis memulakan siasatan terhadap malaysiakini hari ini dengan mengambil keterangan dari seorang editor berhubung laporan yang didakwa mengandungi unsur-unsur memfitnah.
Pasukan penyiasat empat orang yang diketuai oleh DSP Victor Sanjos, dari Unit Jenayah Perdagangan datang ke pejabat malaysiakini di Bangsar Utama pagi ini untuk menyampaikan kertas-kertas siasatan.
Inspektor Lonie B Butek dari ibupejabat polis Kota Bahru berkata, kes ini disiasat di bawah kanun kesiksaan berhubung jenayah menfitnah yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Katanya, berita ringkas enam perenggan yang disiarkan oleh malaysiakini pada 28 Julai lalu mengandungi ayat-ayat yang mengandungi unsur-unsur memfitnah polis.
Berita ringkas berkenaan adalah laporan terkini yang ditulis oleh wartawn malaysiakini yang melaporkan kejadian 'semburan pemedih mata' ke atas Tun Dr. Mahathir Mohamad di lapangan terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bahru sejurus selepas bekas Perdana Menteri itu tiba di situ.
Menurut laporan tersebut, berlaku pergelutan ketika orang ramai berpusu-pusu mahu melihat Dr. Mahathir dari jarak dekat.
"Ketika itulah bekas pemimpin Umno, Ibrahim Ali disembur dengan pemedih mata di bahagian mukanya oleh salah seorang lelaki berjaket yang dipercayai anggota Unit Tindakan Khas polis," menurut laporan itu lagi.
Keterangan ringkas
Anggota polis itu berada di pejabat malaysiakini selama kira-kira dua jam, mengambil keterangan dari Ketua Pengarangnya, Steven Gan.
Menurut Gan, beliau memberikan keterangan ringkas sahaja kerana kerana ketika berita itu disiarkan, beliau berada Thailand, berceramah dalam persidangan akademik di Universiti Chulalornkorn.
"Mereka berulang-ulang kali bertanya samaada malaysiakini mempunyai niat jahat untuk memfitnah polis. Saya jelaskan apa yang berlaku adalah satu kesilapan," kata Gan.
"Berita terkini itu dibuat berdasarkan maklumat dari saksi kejadian iaitu wartawan kami yang berada di tempat kejadian. Wartawan berkenaan menghubungi pejabat malaysiakini dengan telefon bimbitnya melaporkan apa yang berlaku."
Berdasarkan maklumatnya, berita terkini enam perenggan itu ditulis dan disirkan di malaysiakini .
"Bagaimanapun kami telah mengemaskini berita berkenaan sejam kemudian dengan membuang ayat-ayat yang mendakwa penglibatan pihak polis dalam kejadian tersebut," jelas Gan lagi.
Salinan laporan berkaitan insiden semburan pemedih mata yang disiarkan oleh malaysiakini telah diberikan kepada pegawai penyiasat, Butek.
Dua orang lagi editor dan seorang wartawan malaysiakini akan diambil keterangan mereka di ibupejabat Unit Jenayah Perdagangan di ibunegara esok. Berita asal

