Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun minta sekolah di pedalaman dibuka semula
Diterbitkan:  Nov 14, 2020 1:16 PM
Dikemaskini: 5:31 AM

Adun Tanah Rata Chiong Yoke Kong menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pendidikan memberikan pengecualian untuk sekolah di pedalaman terus beroperasi.

Dia berkata, penutupan sekolah di seluruh negara berikutan wabak Covid-19 mengakibatkan segelintir pelajar khususnya di kawasan luar bandar ketinggalan berbanding dengan rakan-rakan mereka di kawasan bandar.

Chiong, yang baru-baru ini mengunjungi masyarakat Orang Asli Pos Menson di Cameron Highlands, berkata berdasarkan maklum balas, para pelajar di sana agak ketinggalan.

Walaupun pembelajaran beralih ke platform dalam talian, Chiong berkata pelajar luar bandar menghadapi kesukaran untuk mengakses internet.

"Walaupun Kementerian Pendidikan mengarahkan para guru untuk mengajar secara dalam talian, itu tidak berkesan di kawasan luar bandar kerana capaian internet mereka lemah," katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod Kementerian Pendidikan mengumumkan penutupan sekolah di seluruh negara dari 9 Nov hingga 17 Dis, sementara sekolah yang termasuk dalam kategori B akan ditutup hingga 18 Disember.

Penutupan itu melibatkan lima juta pelajar dan 500,000 guru.

Sepanjang tempoh tersebut, pelajar bergantung pada pembelajaran di rumah.

Bagaimanapun, Chiong berkata ibu bapa Orang Asli yang ditemuinya mengadu anak-anak mereka tidak dapat belajar di rumah.

Mereka bukan sahaja sukar mendapat akses internet, malah tidak mempunyai persekitaran untuk belajar seperti di sekolah.

"Kita perlu memahami bahawa sekolah memainkan peranan besar kepada anak-anak di luar bandar. Sekolah adalah satu-satunya tempat yang mendorong proses pembelajaran.

"Penutupan sekolah bermaksud para pelajar hilang tumpuan untuk belajar.

"Selain itu, kawasan luar bandar tidak mempunyai kelas tuisyen seperti biasa di bandar. Dan ibu bapa mereka tidak dapat menggantikan guru untuk mengajar mereka," katanya.

Dia meminta Kementerian Pendidikan dan MKN membuka semula sekolah di kawasan luar bandar di Pahang yang ada antara hanya terdapat 20 orang pelajar.

"Ini untuk menutup jurang pembelajaran antara kanak-kanak di bandar dan luar bandar.

"Ketidaksamaan dalam pembelajaran akan menyebabkan anak-anak di luar bandar terpencil," katanya.

Chiong juga menegaskan jumlah pelajar yang rendah di luar bandar berisiko rendah mendapat jangkitan Covid-19, namun langkah pencegahan masih boleh dilakukan dengan guru dan pelajar mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

PKPB dilaksanakan di hampir semua negeri kecuali Perlis, Pahang, Kelantan, dan Sarawak, sehingga 6 Disember.

Lihat Komen
ADS