mk-logo
Berita
I-Sinar KWSP: Boleh keluar 10% dari akaun 1, had pengeluaran RM60,000
Diterbitkan:  Nov 16, 2020 12:40 PM
Dikemaskini: 1:54 PM

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan skim i-Sinar, iaitu pengeluaran wang dalam akaun 1 untuk pencarum yang terjejas dengan Covid-19.

Dalam kenyataan hari ini, KWSP berkata skim itu akan memberi manfaat kepada dua juta pencarum, dengan anggaran dana berjumlah RM14 bilion.

Bagi pencarum dengan baki RM90,000 ke bawah dalam akaun 1, mereka mempunyai akses kepada amaun sehingga RM9,000 dengan pengeluaran pertama sehingga RM4,000.

Bagi pencarum dengan baki RM90,000 ke atas dalam akaun 1 pula, jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan adalah RM60,000 dengan pengeluaran pertama sehingga RM10,000.

"Secara umum, ahli yang layak boleh mengakses 10 peratus daripada amaun simpanan mereka dalam Akaun 1, tertakluk kepada baki minimum RM100," kata KWSP.

Ini bermakna, berdasarkan contoh yang diberikan KWSP, mereka yang mempunyai simpanan RM4,500 boleh membuat pengeluaran sebanyak RM4,400 (iaitu melebihi 10 peratus, dengan baki selepas pengeluaran sebanyak RM100).

Pengeluaran akan dibuat secara berkala sehingga enam bulan, kata KWSP.

Kata KWSP lagi, ahli yang layak - merangkumi mereka yang hilang kerja, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan - boleh membuat permohonan bermula Disember ini, dengan pengeluaran pertama bermula Januari 2021.

Bagaimanapun, berbeza dengan skim i-Lestari, pemohon i-Sinar perlu menggantikan semula wang yang dikeluarkan menerusi caruman pada masa akan datang.

"Caruman baru akan dikreditkan 100 peratus ke dalam Akaun 1 sehingga amaun pendahuluan yang diterima telah digantikan semula. 

"Selepas itu, caruman akan kembali ke kadar pecahan asal iaitu 70 peratus bagi Akaun 1 dan 30 peratus bagi Akaun 2," kata KWSP.

KWSP juga menggalakkan pencarum yang ingin membuat permohonan mendapatkan nasihat kewangan daripada pihaknya atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), untuk menentukan jumlah yang ingin dikeluarkan.

Berjalan serentak dengan i-Lestari

Dalam satu kenyataan berasingan, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata i-Sinar adalah kesinambungan kepada i-Lestari yang dilancarkan pada Mac lalu, dan kedua-dua skim itu akan berjalan serentak.

"Program i-Sinar dianggarkan bernilai sebanyak RM14 bilion, program i-Lestari RM30 bilion, pengurangan caruman pekerja kepada 7 peratus (bagi tahun 2020) bernilai RM8 bilion dan pengurangan caruman kepada 9 peratus (bagi tahun 2021) pula dianggarkan sebanyak RM9 bilion.

"Keseluruhannya, nilai inisiatif KWSP bagi membantu kelangsungan hidup rakyat bagi tahun 2020-2021 adalah berjumlah RM61 bilion," katanya.

Katanya lagi, langkah itu dibuat dengan mengambil kira kedudukan KWSP sebagai simpanan hari tua pencarumnya, justeru bantuan untuk mengadapi situasi semasa perlu diseimbangkan dengan kepentingan masa depan.

"Kerajaan yakin bahawa pendekatan yang diambil dapat mengimbangi keperluan-keperluan ini," katanya lagi.


Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini