Ku Li: Adakan perhimpunan khas Umno untuk Dr M
Eksklusif Pemimpin Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menyarankan supaya diadakan satu perhimpunan khas Umno untuk mendengar penjelasan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pergeserannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Eksklusif Pemimpin Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menyarankan supaya diadakan satu perhimpunan khas Umno untuk mendengar penjelasan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pergeserannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Tengku Razaleigh yang Ketua Umno Bahagian Gua Musang di Kelantan berkata, beliau telah membuat saranan tersebut dalam mesyuarat perhubungan Umno negeri itu Jun lalu, tetapi sehingga ini tiada sebarang maklumbalas mengenainya.
"Kita dengarlah apa yang beliau (Dr Mahathir) hendak katakan, daripada membiarkan beliau bercakap kepada orang lain, atau biarkan orang lain mendengar (penjelasannya)," katanya kepada malaysiakini dalam satu wawancara khas di kediamannya di Ampang.
Tengku Razaleigh berkata, Umno sepatutnya mengadakan perhimpunan khas bagi memberi ruang kepada 'Dr Mahathir memberi pandangannya'.
Menurutnya lagi, para pemimpin parti itu tidak sepatutnya membantahnya kerana bekas Perdana Menteri itu adalah 'seorang ahli Umno yang istimewa, yang tidak dipaksa meletakkan jawatan tetapi melakukannya secara sukarela'.
"Kini beliau mahu menyatakan (sesuatu), (Kita patut) menjemput beliau, layan beliau sebagai seorang 'godfather', datang dan bercakap kepada ahli-ahli Umno," katanya.
Pengasas Umno Baru
Bagaimanapun, kata Tengku Razaleigh, berdasarkan kepada 'mood' dalam parti itu sekarang, beliau tidak begitu optimistik yang Umno akan membenarkan perhimpunan khas seumpama itu diadakan.
"Takut apa? Tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan. Beri beliau ruang...lagi pula beliau tidak akan menjadi perdana menteri sekali lagi," tegasnya.
Kenyataan Tengku Razaleigh itu senada dengan permintaan Dr Mahathir sendiri yang mengadu kritikannya terhadap pentadbiran sekarang telah dipulaukan oleh media arus perdana.
Razaleigh juga berkata, dengan menghalang Dr Mahathir daripada merasmikan mesyuarat perwakilan bahagian Umno yang sedang berlangsung sekarang ia mungkin menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan akar umbi.
"Mengapa tidak boleh? Beliau adalah bekas presiden Umno selama 22 tahun. Umno ini diwujudkan oleh beliau Umno lama sudah diisytiharkan haram dan dibubarkan," jelasnya.
Kebelakangan ini, Dr Mahathir telah membuat teguran keras terhadap Abdullah yang merupakan pengganti Perdana Menteri pilihannya.
Dr Mahathir menuntut jawapan yang memuaskan tentang mengapa beberapa projek yang dimulakan sewaktu pentadbirannya, telah dibatalkan oleh kerajaan sekarang.
Walaupun beliau sering mengatakan bahawa tindakannya itu tidak berunsur peribadi, tetapi Dr Mahathir pernah menyatakan yang beliau mungkin membuat pilihan yang silap apabila memilih Abdullah sebagai penggantinya.
Isnin lalu, beliau menegaskan bahawa Perdana Menteri yang menjual negaranya tidak perlu dikekalkan hingga tamat tempoh perkhidmatannya.
Pergi berjumpa Dr M
Tengku Razaleigh yang pernah menjadi Menteri Kewangan sewaktu pentadbiran Dr Mahathir berkata, bekas Perdana Menteri itu tidak akan berhenti mengkritik sehinggalah 'beliau memperolehi jawapan yang dikehendakinya".
Katanya, Dr Mahathir bukan mahu penjelasan melalui menteri-menteri lain yang pernah berkhidmat di bawahnya, tetapi penjelasan yang datangnya daripada mulut Abdullah sendiri.
"Pak Lah (Abdullah) sebagai orang yang mengambil alih (jawatan Perdana Menteri) daripada beliau (Dr Mahathir), patut pergi menemui beliau dan jelaskan kepadanya," kata beliau.
Tengku Razaleigh pernah mencabar Dr Mahathir bagi jawatan presiden Umno pada pemilihan parti itu pada 1987. Beliau kalah tipis kepada Dr Mahathir yang menang dengan majoriti 43 undi sahaja.
Selepas kekalahannya itu, Tengku Razaleigh dan penyokongnya menubuhkan Parti Semangat 46 untuk mencabar Umno. Bagaimanapun, parti itu dibubarkan dan semua ahlinya kembali semula ke dalam Umno tujuh tahun kemudiannya. Berita asal
Esok: Pendangan Ku Li mengenai masa depan Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.