Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM) menyeru kerajaan agar mempertimbangkan semula Belanjawan 2021 selepas merasakan pembentangan bajet pada 6 November lalu tidak cukup untuk memulihkan industri perkahwinan.
"Kami merasakan Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini adalah belanjawan yang prihatin kepada rakyat dan peniaga-peniaga.
"Namun kami dari pihak industri perkahwinan merasakan belanjawan tersebut tidak cukup untuk memulihkan industri kami kerana industri perkahwinan merupakan industri yang terjejas teruk selepas industri pelancongan.

"Oleh itu kami dari PPMPM ingin mencadangkan beberapa permintaan agar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dapat mempertimbangkan semula belanjawan agar dapat menerima beberapa cadangan kami," kata setiausaha agungnya Arabath Ali Arul Alavudeen pada sidang media di Selayang, hari ini.
Antara cadangkan yang dikemukakan adalah:-
- Menyambung tempoh moratorium sehingga Jun 2021
- Memberi bantuan geran sebanyak RM 5,000 melalui Geran Khas Prihatin Perniagaan (GKP) secara one-off kepada peniaga-peniaga kecil di industri perkahwinan
- Melonggarkan syarat pinjaman serta memudahkan proses pinjaman perniagaan di Tekun, SME Corp dan PUNB
- Meminta kerajaan untuk memberikan subsidi penyewaan dewan perkahwinan sebanyak 30 peratus dari sewa asal kepada para peniaga yang menyewa premis dengan bertujuan mengadakan dewan perkahwinan selama enam bulan.
- Pelepasan cukai (tax holiday) bagi tahun 2020 untuk pengusaha industri perkahwinan yang terjejas disebabkan pembatalan majlis perkahwinan sepanjang tahun 2020 ini akibat penularan Covid-19
- Subsidi dalam bil-bil utiliti bulanan seperti TNB, Air dan internet
"Kami dari PPMPM berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permintaan-permintaan kami ini untuk memulihkan ekonomi di kalangan para peniaga industri perkahwinan yang sedang mengalami krisis kewangan yang teruk ketika ini," katanya.
"Perniagaan kami terjejas 100 peratus selepas penguatkuasaan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat)," tambahnya.

Sementara itu, Presiden PPMPM, Zarinah Mohideen menyeru kerajaan agar membenarkan majlis perkahwinan diadakan dengan kehadiran 250 orang tetamu dalam satu masa mengikut kapasiti dewan perkahwinan.
"Perkara ini boleh membantu para peniaga dalam industri perkahwinan agar dapat meneruskan perniagaan dan mempunyai aliran tunai untuk menampung perbelanjaan overhead bulanan yang tinggi dan menyelamatkan peniaga-peniaga ini dari gulung tikar.
"Industri perkahwinan sudah pun mempunyai SOP yang ketat dan para peniaga di industri perkahwinan telah melaksanakan SOP ini dengan sempurna. Kami juga mengalu-alukan SOP yang lebih ketat jika pihak kerajaan inginkan," katanya.
