Bekas menteri pengangkutan Anthony Loke (DAP- Seremban) mempersoalkan langkah kerajaan membatalkan dasar pengecualian kabotaj yang bertujuan mempercepat pembaikan kabel bawah laut yang menghubungkan infrastruktur internet Malaysia ke seluruh dunia.
Tambah Loke, pihaknya telah memberikan pengecualian tersebut mulai 1 April tahun lalu atas desakan dari pemain industri internet termasuk syarikat yang berkaitan dengan kerajaan dan setelah berunding dengan pejabat kementeriannya serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).
Bagaimanapun jelas Loke, penggantinya Wee Ka Siong secara senyap-senyap membatalkan pengecualian berkenaan.
Pembatalan itu diwartakan pada 13 Nov dan berkuatkuasa 15 Nov.
“Kementerian Pengangkutan, apakah pertimbangan kerajaan dalam membatalkan dasar pengecualian kabotaj untuk kerja pembaikan kabel mulai 13 November 2020 seperti yang diwartakan dalam PU (B) 592 baru-baru ini?
“Apakah suara dan permintaan dari industri telekomunikasi dan internet tempatan diambil kira? Apakah kepentingan negara Malaysia dari segi pembangunan industri internet era IR 4.0 diberi keutamaan?
“Kenapa menteri pengangkutan seolah-oleh membuat keputusan secara unilateral tanpa mengambil kira ulasan dan permintaan dari KKMM, Mosti, Miti dan kementerian yang lain?
“Kenapa menteri pengangkutan membuat keputusan dasar yang begitu penting secara senyap-senyap – tanpa membuat apa-apa kenyataan awam untuk menerangkan kepada semua pemegang taruh (stakeholders) sebab-sebab MOT perlu membuat U-turn daripada dasar pengecualian kabotaj yang sejak 2019 disambut baik oleh industri?" soalnya.
Dasar kabotaj bertujuan mengekalkan industri perkapalan dan pembuatan kapal Malaysia dan sekali gus mengurangkan pergantungan pada perkapalan asing.
Di bawah polisi ini, hanya kapal berdaftar dan milik Malaysia yang boleh menggunakan laluan pelayaran domestik di Malaysia kecuali pengecualian diberikan.
Dasar ini dipersalahkan sebagai punca harga barang yang tinggi di Sabah dan Sarawak berbanding Semenanjung Malaysia, kerana barangan harus dihantar melalui Pelabuhan Klang sebelum dihantar ke dua negeri itu.
Loke berkata, pengecualian itu dibuat bagi memberi Malaysia kelebihan dalam industri pusat data yang menguntungkan.
Hal ini kerana, syarikat teknologi membuat keuntungan berbilion dolar setiap tahun untuk mendirikan pusat data di lokasi strategik yang dihubungkan dengan kabel bawah laut berkenaan.
Menurut laman web submarinecablemap.com, Malaysia pada masa ini dihubungkan ke 22 rangkaian kabel dasar laut dengan titik pendaratan di tempat-tempat seperti Mersing di Johor dan, Kuantan di Pahang, dan Melaka.
Meskipun Singapura sering menjadi pilihan untuk pendaratan kabel dasar laut dan pusat data serantau kerana lokasinya strategik dengan insentif kerajaan, namun jelas Loke, Malaysia masih mempunyai kelebihan dari segi kos tanah dan operasi yang lebih rendah serta lokasi yang lebih baik.
“Namun demikian, satu faktor yang menjadi kelemahan kita adalah dasar kabotaj yang menjadi punca kelewatan pembaikan apabila berlaku kerosakan kepada kabel dasar laut di perairan Malaysia.
“Apabila kabel rosak, ia boleh mengambil masa lebih daripada sebulan sebelum kerja pembaikan dapat bermula,” katanya.
Dia turut merujuk laporan 2016 oleh International Cable Protection Committee berhubung prestasi pembaikan kabel di perairan Malaysia yang tidak memuaskan dengan purata 'lead time' selama 20 hari.
