Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib menggesa 'orang-orang yang rapat' dengan Tun Dr Mahathir berhenti menghasut bekas Perdana itu dengan maklumat tidak benar berkenaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata Dr. Mahathir dan masyarakat tidak patut disogok dengan maklumat tidak betul berkenaan pentadbiran Perdana Menteri kerana ia hanya akan membantutkan usaha pembangunan negara.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih buruk apabila maklumat yang tidak betul itu disampaikan pula oleh Dr Mahathir kepada masyarakat di majlis-majlis yang dihadirinya.

"Walaupun kenyataan itu tak betul tetapi disebabkan Tun yang keluarkan maka ia boleh ganggu proses pembangunan negara," katanya kepada wartawan selepas merasmikan seminar mengenai Rancangan Malaysia Kesembilan untuk pegawai kanan Risda, di ibunegara.

Menurut laporan Bernama, Muhammad mahu semua pihak memberi peluang kepada Abdullah mentadbir negara dengan gayanya yang tersendiri.

"Saya harap rakyat akan terus beri sokongan kepada pentadbiran sekarang kerana tuduhan yang disebar itu hanya untuk menggugat kepimpinan Perdana Menteri."

"Tun seorang pemimpin yang hebat yang telah berjaya membangunkan negara. Sekarang beri peluang kepada Datuk Seri Abdullah untuk memajukan negara dengan pentadbirannya," katanya.

Sokong Abdullah

Sementara itu Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali pula berkata beliau tetap menghormati Dr Mahathir walaupun bekas Perdana Menteri itu menuduhnya menyokong Abdullah secara melulu.

Menurutnya Dr. Mahathir bebas mengatakan apa sahaja terhadap dirinya tetapi beliau akan terus setia kepada Perdana Menteri sekarang.

" Saya juga akan tetap menghormati Dr. Mahathir. Macam kita dengan ayah kita...apapun berlaku, kadangkala kita tidak bersetuju dengan dia, tetapi dia tetap ayah kita," katanya kepada pemberita di Ipoh ketika diminta mengulas kritikan Dr Mahathir terhadap beliau dua hari lepas.

Isnin lalu dalam sidang media di Universiti Teknologi Petronas di Tronoh, Dr Mahathir dilaporkan telah menghalakan kritikan terhadap Tajol Rosli dan juga Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim yang telah menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada Abdullah.

Tajol Rosli berkata beliau akan terus menyokong Abdullah selagi beliau boleh menerima gaya kepimpinan Perdana Menteri itu tetapi itu tidak bermakna beliau tidak menyukai orang lain yang tidak menyokong kepimpinan Abdullah.

"Apabila Pak Lah tidak lagi menjadi Perdana Menteri, saya tetap akan menghormati beliau sebagai seorang pemimpin tetapi kesetiaan saya adalah kepada pemimpin yang menjadi Perdana Menteri pada satu-satu masa," katanya.

Tajol Rosli juga menyatakan beliau akan mengundur diri sekiranya tidak lagi menyukai kepimpinan Abdullah.

"Itu adalah prinsip kepimpinan. Perdana Menteri telah melantik saya sebagai Menteri Besar Perak. Jika saya tidak suka beliau, saya akan letak jawatan," katanya.