Khairy dakwa ahli Umno puas hati dengan penjelasan Pak Lah
Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mendakwa ahli-ahli Umno khususnya anggota pergerakan Pemuda cukup puas hati dengan penjelasan kerajaan, samaada yang dibuat oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau oleh pemimpin lain.
"Ke mana saja saya pergi dan berjumpa dengan anggota Pemuda Umno, mereka berasa cukup puas hati dengan penjelasan yang telah diberikan."
"Mereka lebih senang hati kalau tumpuan kerajaan dan rakyat Malaysia lebih kepada pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan dan bukan kepada soalan-soalan sama yang diulang beberapa kali," katanya kepada wartawan selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian Kota Belud dan Kota Marudu di Kota Belud, Sabah.
Menurut Khairy, jawapan terbuka Perdana Menteri pada Isnin lalu sudah menjawab setiap spekulasi dan tohmahan oleh pelbagai pihak yang ditujukan kepada kepimpinan beliau dan anggota keluarganya.
"Saya percaya penjelasan yang diberikan oleh Perdana Menteri itu sudah begitu jelas dan dapat diterima oleh rakyat Malaysia yang lebih ingin untuk memandang ke hadapan," tegasnya.
Beliau berharap dengan penjelasan itu, kerajaan selepas ini dapat menumpukan perhatian dan usaha kepada perkara-perkara yang lebih penting untuk agenda bangsa dan negara seperti pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan persiapan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Menurut laporan Bernama, Khairy berkata keputusan Abdullah, yang juga Presiden Umno, untuk memberi penjelasan secara muktamad itu kena pada masanya kerana kelihatan spekulasi dan tohmahan yang dilemparkan itu "sudah sampai ke satu tahap yang tidak rasional dan tidak logik langsung".
Khairy berkata jika masih ada pihak yang tidak dapat menerima penjelasan yang diberikan oleh Perdana Menteri itu, ini bermakna terdapat "perselisihan pendapat" antara mereka dan kerajaan, dan bukan kerana kerajaan tidak memberikan jawapan.
"Kalau jawapan dipinta dan jawapan diberi, maka saya rasa tak perlu untuk kerajaan atau pemimpin untuk mengulangi jawapan tersebut untuk beberapa kalinya. Saya rasa rakyat terima jawapan bila diberi sekali tetapi kalau ada lagi mereka yang masih lagi tak terima, maka kita harus menganggap perkara tersebut sebagai satu perselisihan pendapat," katanya.
Beliau berkata: "Kita bukan hendak menyembunyikan apa-apa tetapi apabila anda terpaksa memberi jawapan sepanjang masa ... kita terpaksa kata cukuplah tu, apa lagi yang kita nak cakap, kalau tidak, kita macam 'anjing menyalak bukit'... cakap, cakap, (tapi) tak terima juga."
Mengenai tohmahan yang menyentuh peribadi beliau sendiri, Khairy berkata pada mulanya beliau berpendapat ia tidak perlu dijawab tetapi akhirnya terpaksa juga memberi penjelasan setelah perkara itu sampai ke satu tahap di mana sekiranya tidak dijawab sesetengah pihak akan menganggap tuduhan itu sebagai betul.
Khairy berkata secara peribadi beliau telah mengambil peluang daripada mesyuarat perwakilan bahagian untuk turun ke bahagian-bahagian memberi penjelasan kepada anggota Pemuda Umno mengenai perkara itu.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Pemuda Umno di peringkat akar umbi yang terus berdiri di belakangnya sebagai memberikan sokongan kepada beliau untuk terus mengekalkan jawatannya sebagai naib ketua pergerakan itu.
Beliau berkata selagi anggota Pemuda Umno merasakan beliau boleh menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik dan boleh membantu Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan baik, beliau akan terus memainkan peranannya dalam pergerakan itu.
Khairy berkata beliau tidak berasa tertekan untuk menjelajah ke seluruh negara bagi memberikan penjelasan mengenai tohmahan yang dilemparkan kepadanya.
Beliau berbuat demikian kerana percaya dalam arena politik penjelasan perlu diberikan kepada peringkat akar umbi bagi mengelakkan mereka keliru dan mempunyai persepsi yang berbeza daripada kenyataan.