Malaysiakini
BERITA

PN sedang terkial-kial urus ekonomi negara, kata Shahrir

Diterbitkan
Dikemaskini 19 Nov 2020, 1:41 pagi

Seorang pemimpin Umno malam tadi sekali lagi 'menyerang' Bersatu melalui media sosial. Kali ini berhubung langkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) menguruskan ekonomi bagi mengimbangi kesan wabak Covid-19.

Menurut Shahrir Samad, pada pandangannya kerajaan PN kini "terkial-kial" untuk menghadapi keadaan semasa.

Tidak sekadar itu, bekas ahli parlimen Johor Bahru berkenaan turut melanjutkan kritikannya kepada Pemuda Bersatu (Armada).

"Saya ingat nak post komen saya tentang kegeligaan pemimpin muda PPBM (Bersatu)," katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Mengiringi kenyataan tersebut ialah tangkap layar laporan mengenai idea Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, untuk meringankan kesusahan rakyat.

Ditemu bual stesen radio BFM, senator itu mencadangkan agar Bank Negara mencetak lebih banyak wang untuk diagih-agihkan kepada orang ramai.

Idea itu bagaimanapun menjadikan timbalan menteri belia dan sukan terbabit menjadi sasaran persendaan serta kecaman.

Kata Shahrir untuk menjelaskan pandangan terhadap idea Wan Ahmad Fayhsal memadai untuknya mengongsikan pandangan seorang anak muda Johor Bahru.

"Macam mana kerajaan PN berteras PPBM (Bersatu) terkial-kial dengan kewangan dan ekonomi negara, macam itu jugalah pemimpin pelapisnya.

"Timbalan menteri tu!" katanya.

Sementara itu seorang lagi pemimpin Umno Johor turut mengkritik Wah Ahmad Fayhsal.

Menurut Dr Puad Zarkashi ketika ini nilai ringgit Malaysia sedang lemah, justeru cadangan pemimpin Armada Bersatu itu - yang sebelum ini turut menyarankan agar hutang rakyat kepada bank dihapuskan - tidak dapat diterima.

"Wan Fayhsal, engkau ini dah kenapa? Terlebih outside the box ke?

"Engkau tahu tak, nilai mata wang Malaysia sedang lemah sekarang ini.

"Abahku, kalau over sangat, elok rotan je dia ni," katanya yang juga bekas ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan