Paling Popular
Terkini

Perkembangan terkini: Dakwaan jual tanah DBKL: Tan mohon maaf pada Annuar Musa


Annuar Musa hari ini menafikan dakwaan anggota Parlimen Cheras, Tan Kok Wai bahawa 42 plot tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah terjual dalam tempoh lapan bulan terakhir khidmatnya sebagai menteri Wilayah Persekutuan.

Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah dan tuduhan berat, katanya, kekeliruan berhubung dakwaan Tan, yang mana plot tersebut adalah tanah persendirian yang telah dimohon kepada DBKL untuk mengubah peraturan penggunaan tanah.

"Saya ingin menegaskan di sini, sehingga ke hari ini, tidak ada satu permohonan dari bandaraya yang memohon untuk menjual aset dari bandaraya.

"Saya ulang sehingga ke saat ini, saya tidak pernah terima apa-apa permohonan dari bandaraya," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Tan semalam mendakwa 42 plot tanah di Kuala Lumpur dijual sejak Annuar menjadi menteri Wilayah Persekutuan.

Tan mempertikaikan status penjualan itu dan mendesak penjelasan daripada menteri tersebut.

Katanya, tanah milik DBKL berkenaan dijual kepada entiti swasta untuk dibangunkan sebagai projek perumahan, pembangunan komersial dan lain-lain.

Mengulas lanjut, Annuar berkata kenyataan Tan itu secara tidak langsung telah menjejaskan kredibilitinya sebagai menteri dan imej DBKL.

"Saya merasa sangat kecewa dan dukacita dengan dakwaan seorang ahli parlimen yang sudah begitu lama berperanan sebagai ahli Parlimen, menyerang seorang ahli parlimen yang lain.

"Malah beliau mempunyai peluang dalam Parlimen untuk berucap dan bertanya kepada saya, supaya saya boleh memberikan jawapan. Tetapi, dia memilih untuk bercakap di luar Parlimen.

"Maka sudah tentulah tindakan di luar Parlimen tertakluk kepada undang-undang yang tertentu.

“Justeru, saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau mengikut jalur dan proses yang sedia ada dan saya memandang serius terhadap tuduhan seperti.

“Saya mengulangi sekali lagi, sepanjang saya menjadi menteri WP, saya tidak pernah lagi menerima sebarang permohonan daripada bandaraya untuk menjual mana-mana aset," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Tan untuk mendapatkan komen.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Annuar yang merupakan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), berkata tidak timbul persoalan menteri daripada parti mana yang memegang sesuatu portfolio dalam Kabinet kerana keputusan kerajaan dibuat dalam mesyuarat jemaah menteri berdasarkan prinsip 'tanggungjawab bersama'.

"Menteri pegang portfolio mana pun semua penting.

"Tidak ada satu menteri yang tidak penting, ini tidak timbul sebagai contoh Menteri Kanan Pendidikan (Dr Radzi Jidin)...memang betul kalah pada saya (dalam pilihan raya) tetapi dia sudah dilantik sebagai Senator dan mencukupi syarat untuk dilantik sebagai anggota jemaah menteri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditanya pemberita berkenaan kenyataan Pengerusi Lembaga Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah yang berpendapat parti itu sepatutnya memegang lebih banyak jawatan menteri atau portfolio utama dalam kabinet pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.


ADS