Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Air mata sambut pancuran air bersih lepas 30 tahun
Diterbitkan:  Nov 20, 2020 4:41 PM
Dikemaskini: 8:41 AM

Berulang-alik menaiki motosikal sejauh 300 meter dari rumah setiap hari selama bertahun-tahun, dapat difahami apabila orang kampung sampai menitiskan air mata selepas mendapat bekalan air bersih di rumah sendiri.

Mendakwa hampir separuh daripada usianya dihabiskan untuk mengangkut air bersih untuk kegunaan keluarga, Ismail Hamat, 67, berkata kini dia dan keluarganya boleh mandi lebih daripada sekali sehari.

Sebelum ini, katanya, mereka sentiasa 'sayang' untuk menggunakan air bersih yang diambil atau dibeli untuk keperluan seperti memasak dan minuman.

"Hanya Allah saja yang tahu perasaan kami sebaik melihat air bersih keluar dari paip, dan disebabkan terlalu teruja, saya berkumur beberapa kali dan membasuh muka kerana ia tidak lagi masin serta payau seperti air telaga tiub sebelum ini," katanya seperti dipetik Harian Metro hari ini.

Menurut portal berita itu kira-kira 150 penduduk Kampung Tok Puchong di Kota Bharu menerima bekalan air bersih buat pertama kali sejak lebih 30 tahun lalu.

Ia berlaku apabila Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mula menyalurkan bekalan berkenaan ke sembilan kediaman di situ sebagai permulaan.

Kemudahan itu dilaporkan membuat penduduk kampung terbabit sangat teruja melihat air bersih keluar dari paip di luar dan dalam rumah. Sebelum ini mereka dikatakan terpaksa membeli air bersih untuk kegunaan harian.

Sebahagian daripada mereka mendapatkan air bersih dari surau atau masjid di kawasan sekitar, manakala yang lain membina telaga tiub dan menggunakan air yang agak berbau, masin dan payau.

Ismail berkata dengan adanya air bersih itu pinggan mangkuk mereka sekeluarga tidak lagi berkarat, manakala pakaian juga bersih tanpa warna kekuningan.

Dia yang turut membesarkan dua anak istimewa berusia 31 dan 39 tahun - masing-masing menghadapi masalah mental dan terlantar akibat diserang strok haba - berkata kesukaran mendapatkan air bersih sebelum ini akan dirasa lebih perit jika musim hujan atau Ramadan.

"Hampir separuh daripada usia saya dihabiskan dengan mengangkut air dan banyak wang dihabiskan untuk itu, malah anak cucu juga jarang melawat disebabkan masalah air dan tidak mahu membebankan kami," katanya.

Menurut laporan berkenaan, sebuah NGO Cempaka Merah Asnaf Society banyak membantu penduduk kampung terbabit menyelesaikan masalah bekalan air bersih tersebut.

Lihat Komen
ADS