Malaysiakini
BERITA

'Hidup di negeri kuat Umno tapi gagal sumbang kerusi... Pedih kan?'

Diterbitkan
Dikemaskini 21 Nov 2020, 10:13 pagi

Dilabel sebagai tokoh yang sudah 'mati' dalam Umno, Setiausaha Agung BN Annuar Musa bingkas menempelak pihak yang melontarkan sindiran tersebut.

Dan menteri Wilayah Persekutuan itu membidas dengan kata-kata yang tidak kurang pedihnya.

Menjawab tempelakan yang ditujukan itu, Annuar berkata, apa yang penting baginya ialah mati sebagai seorang beragama Islam dan bersyukur jika ketika itu dia masih kekal sebagai ahli Umno.

Secara sinis, Annuar berkata, meskipun dituduh ‘mati’ di dalam Umno, setidak-tidaknya dia masih mampu menyumbangkan satu kerusi parlimen Umno, tidak seperti pihak lain yang hidup di negeri kuat Umno tetapi tidak menyumbang apa-apa kerusi buat parti.

“Ada yang kata saya dah mati dalam Umno. Kalau begitu, alhamdulillah. Yang penting saya mati dalam Islam, dan syukur jika saat itu saya kekal ahli Umno.

“Setidak-tidaknya saya masih mampu beri satu kerusi parlimen dan DUN (dewan undangan negeri) untuk Umno.

"Ada yang hidup di negeri kuat Umno tapi gagal sumbang kerusi untuk Umno.

“Pedih kan? You ask for it! (Kamu yang minta!)” kata ahli parlimen Ketereh itu di Facebooknya.

Tak ada pilihan lain

Untuk rekod, pada penggal ini, Annuar tidak bertanding di mana-mana kerusi DUN namun pernah mewakili kawasan Peringat dan Kok Lanas di Kelantan, masing-masing pada 1986 dan 2004.

Meskipun tidak menamakan sesiapa, sindiran itu dipercayai ditujukan buat Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed, yang dilaporkan menganggap Annuar sebagai figura yang “sudah mati” dalam perjuangan Umno.

“Dia ‘dah mati’ dalam Umno tetapi tak mahu lompat ke Perikatan Nasional (PN),” katanya seperti dilaporkan portal berita FMT.

Nur Jazlan mengulas kenyataan Annuar - Umno dalam wawancara bersama Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan malam kelmarin - antara lain menyatakan segelintir ahli Umno lupa bahawa parti itu ialah parti yang kalah dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

Kata Annuar, Umno kini tidak mempunyai pilihan lain untuk bertanding dalam PRU akan datang kecuali bersama PAS sebagai sekutu ketika PAS tetap bertegas mahu bersama Bersatu sebagai rakan.

“Pilihan ini tidak wujud. […] PAS berpegang pada dasar (iaitu) Umno, PAS dan Bersatu hendaklah bersama,” katanya dalam wawancara itu.

Untuk rekod, Nur Jazlan merupakan bekas ahli parlimen Pulai di Johor selama tiga penggal sebelum tewas kepada Salahuddin Ayub dari Amanah pada PRU lalu.

Ketika ini dia merupakan timbalan ketua Umno Johor.

Johor sebelum ini dikenali sebagai kubu kuat Umno-BN namun pada PRU lalu negeri itu tumbang ke tangan PH yang terdiri daripada DAP, PKR, Amanah dan juga Bersatu - parti serpihan Umno sendiri.

Namun, seiring dengan kejatuhan PH di pusat pada hujung Februari lalu kerana kerjasama PN, kerajaan Johor juga bertukar apabila Bersatu bekerjasama dengan Umno di negeri berkenaan.

Sejak PRU-14, Johor sudah mempunyai tiga orang menteri besar, dengan yang terbaru merupakan Adun Benut, Hasni Mohammad dari Umno. 

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan