Malaysiakini
BERITA

Fenomena siput terdampar di Pantai Rusila, Marang

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Nov 2020, 4:06 pagi

Cuaca yang tidak menentu serta perubahan oseanografi menjadi antara faktor yang mendorong berlaku fenomena siput laut terdampar di Pantai Rusila dekat Kampung Rhu Dua di Marang, beberapa hari lepas.

Pensyarah Kanan dan ahli malakologi Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu Dr Nursalwa Baharuddin berkata ombak kuat yang terhasil akibat Monsun Timur Laut menyebabkan pergolakan air dari atas ke bawah.

"Fenomena ini membolehkan siput-siput dewasa berkumpul supaya dapat meningkatkan pembiakan dan kemandirian dalam populasinya.

"Selain itu, generasi yang berdaya tahan akan dihasilkan untuk kembali ke habitatnya. Melalui fenomena ini juga, siput ini dapat menjelajah kawasan baru untuk mencari sumber makanan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan pantai itu meriah dikunjungi penduduk setempat berikutan terdapat banyak siput laut yang didakwa muncul semula selepas 50 tahun.

Nursalwa berkata nama saintifik siput itu ialah 'Margistrombus marginatus' yang mempunyai saiz berukuran antara empat sentimeter (cm) hingga 8 cm.

"Siput ini kebanyakannya terdapat di Laut Andaman, perairan selatan India, Selat Melaka dan Laut China Selatan malah kajian yang telah dilakukan kumpulan penyelidik saya di perairan Pulau Bidong pada tahun 2018 juga merekodkan kewujudan spesies tersebut.

"Ianya banyak didapati di kawasan yang terdapat rumput laut dan berada di kawasan bentik iaitu permukaan bawah laut yang berpasir dan berkelodak. Ia 'muncul' semula selepas berpuluh tahun disebabkan ombak kuat dan perubahan oseanografi yang berlaku sejak akhir-akhir ini," katanya.

Ditanya mengenai keghairahan orang ramai untuk menikmati siput tersebut, beliau menasihatkan agar siput itu direndam dalam air masin semalaman sebelum direbus dan dimasak untuk memastikan segala lendir, kekotoran dan pasir dapat diasingkan memandangkan habitat siput ini menduduki kawasan yang berpasir dan berkelodak.

"Siput ini mempunyai protein yang tinggi. Begitu juga kandungan kolesterolnya jika dimakan dalam jumlah yang banyak.

"Kajian di Indonesia oleh pakar nutrisi menasihatkan masyarakat di Kepulauan Riau dan Batam untuk mengehadkan memakan siput ini kepada satu atau dua kali sahaja dalam seminggu dengan kuantiti yang sedikit walaupun siput ini boleh didapati dengan banyak di perairan mereka," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar melepaskan siput yang bersaiz kecil atau kurang daripada 4 cm dan mengehadkan pengambilannya untuk memberi peluang haiwan kecil itu hidup sekali gus menjamin rantaian makanan ke arah kelestarian ekosistem marin.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan