Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Larangan jual arak: Patriot buat perbandingan salah

ULASAN | Kami berpendirian President Patriot Mohamed Arshad Raji salah membuat perbandingan dan keterlaluan dengan menyatakan 'Mana lebih rosakkan negara - rasuah atau minuman keras?'

Kedua- dua arak dan rasuah adalah perosak. Keduanya mempunyai kesan berat terhadap masyarakat dan negara, tidak kira Islam mahupun bukan Islam.

Islam berpendirian kerosakan seperti arak , judi dan menenung nasib diharamkan kerana semuanya membawa padah kepada masyarakat seperti kesihatan, ekonomi, jenayah, menjejaskan ketenteraman dan produktiviti, serta kestabilan keluarga dan negara.

Dalam semangat yang sama Islam memberi amaran yang kuat mengenai kesan rasuah sama ada pihak yang memberi, menerima, menulis, ataupun yang memudahkannya. Kesan kepada negara juga berat.

Demikianlah kepada sistem riba juga sangat jelas ditentang Islam kerana membawa kesengsaraan jauh lebih parah kepada negara. Malah sistem ribalah yang memporak-porandakan seluruh dunia yang mengakibat jutaan manusia sengsara.

Presiden Patriot harus faham yang soal orang bukan Islam ada hak untuk minum arak bukan isu. Namun mereka juga tertakluk kepada undang-undang yang diwujudkan untuk memelihara keamanan dan kestabilan sosial di kalangan masyarakat.

Malaysia juga dicatat sebagai antara pengguna perkapita minum beralkohol yang tinggi didunia.

Jelas mengawal konsumsi arak adalah munasabah bukan sahaja untuk orang Islam malah kepada seluruh masyarakat.

Kesan langsung arak jelas lebih serta-merta dan langsung. Sebab itu Islam meletakkan arak sebagai ibu kepada maksiat. Kesannya langsung dan mendadak. Kes mabuk ketika memandu, keruntuhan rumah tangga dan jenayah dapat dikesan dengan cepat akibat ketagihan arak.

Larangan penjualan minuman keras di kedai runcit dan serbaneka adalah wajar kerana kerajaan perlu menangani isu arak yang mudah dibeli oleh anak muda.

Kami berpendirian keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang akan memperkenalkan larangan itu di Kuala Lumpur mulai Oktober tahun depan adalah wajar.

Fokus untuk mengatasi masalah rasuah memang sudah banyak ditangani walaupun ada yang masih perlu ditambah baik untuk membanteras pecah amanah dan salah guna kuasa sehingga ke akar umbi.

Kami menegaskan bahawa tak perlu mencabar mana yang lebih jahat atau mana yang lebih merosakkan masyarakat dan negara kita - minum arak atau rasuah.

Semua kejahatan menarik semua bangsa tidak kira agama .

Jika ada terbukti sesuatu kejahatan ditemui, maka tindakan perlu diambil berdasarkan undang-undang tidak kira yang mana lebih menjejaskan masyarakat.

Logik apa yang Patriot guna bila bertemu dua kejahatan antara arak dan rasuah, maka rasuah dulu yang perlu diambil tindakan dan salah laku arak dibiarkan?

Setiap agensi penguatkuasa ada bidang tugas mereka, agensi berkenaanlah yang perlu bertindak berdasarkan undang-undang yang dimandatkan kepada mereka.

Kami menolak hujah Patriot yang mendakwa undang-undang itu sebagai campur tangan dalam urusan orang bukan Islam.

Kami juga tidak boleh menerima larangan berkenaan "tidak perlu dan tidak masuk akal".

Sebenarnya masyarakat mahu keamanan, kesejahteraan dan peraturan dipatuhi. Kepada keluarga yang berdepan anggota yang ketagih arak, dan menjadi mangsa kepada porak perandanya insitusi keluarga akibat arak, pasti mahu peraturan menghadkan jualan arak dikuatkankuasakan.

Orang bukan Islam diberi jaminan bahawa mereka tidak akan dikenakan peraturan yang berkaitan dengan Islam, akan tetapi tidak bermakna undang-undang keamanan sosial dan kesihatan tidak boleh dikuatkuasakan kepada semua merentas bangsa dan agama.

Orang bukan Islam memang boleh mengambil makanan tidak halal selagi agama mereka mengizinkan, tetapi tidak boleh melakukannya jika ia menjejaskan keamanan masyarakat awam.


MOHD AZMI ABDUL HAMID ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS