Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Vaksin: Ada kelonggaran dalam soal halal jika darurat, kata menteri
Diterbitkan:  Nov 23, 2020 4:30 PM
Dikemaskini: 8:30 AM

PARLIMEN | Meskipun dalam Islam ubat-ubatan mestilah dibuat daripada bahan-bahan yang halal dan baik, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad berkata ada kelonggaran untuk menggunakan sumber yang haram jika dalam keadaan darurat.

Menjawab soalan Jalaluddin Alias (BN - Jelebu) tentang peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam menentukan isu halal dan haram sesuatu vaksin, Zulkifli menjelaskan hukumnya adalah harus bagi tujuan pencegahan sesuatu penyakit dan menjaga nyawa.

Katanya, soal itu di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) - sebuah agensi di bawah Jakim - yang sentiasa mengkaji perkara itu mengikut keperluan dari masa ke masa.

“Mesyuarat Muzakarah MKI telah menjelaskan hukum harus bagi penggunaan vaksin, selari dengan kaedah pencegahan yang dianjurkan Islam berteraskan prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga nyawa.

“Dalam isu perubatan, ulama sepakat bahawa makanan termasuk ubat-ubatan mestilah terdiri daripada bahan-bahan yang baik (thoyyib) dan halal, serta tidak mempunyai unsur-unsur yang memudaratkan kesihatan badan dan akal manusia.

“Namun, terdapat kelonggaran menggunakan sumber yang haram dalam kes darurat yang boleh mengakibatkan kematian dan penyakit kronik [...] sedangkan sumber halal tidak diperoleh,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan menteri bagi Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) memaklumkan Malaysia akan menyertai pelan peruntukan vaksin Covid-19, vaccine global access (Covax) bagi mendapatkan sebahagian daripada bekalan vaksin Covid-19 yang diperlukan.

Terbaru, dilaporkan Malaysia dan China telah menandatangani perjanjian selama 5 tahun untuk bekerjasama dalam pembangunan vaksin, yang memberi negara keutamaan akses vaksin Covid-19 yang dikembangkan China.

Lihat Komen
ADS