Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan tutup 28 kilang Top Glove secara berperingkat
Diterbitkan:  Nov 23, 2020 5:40 PM
Dikemaskini: 9:52 AM

Kerajaan hari ini mengumumkan sebanyak 28 kilang syarikat Top Glove di daerah Klang akan ditutup secara berperingkat bagi membolehkan semua pekerjanya menjalani ujian saringan dan kuarantin.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata penutupan itu susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 membabitkan pekerja kilang berkenaan.

"Untuk hari ini sahaja, sebanyak 1,067 kes positif Covid-19 dicatat dalam kalangan pekerja Top Glove," katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) pada sidangnya di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut menteri itu, penutupan secara berperingkat itu akan diselaraskan oleh Jawatan Kuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor bersama pihak pengurusan syarikat.


Dia berkata, setakat hari ini, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menjalankan 5,794 saringan ke atas pekerja kilang Top Glove dan didapati sebanyak 1,889 daripada mereka positif Covid-19.

Sebelum ini, sejak Selasa lalu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan selama 14 hari di asrama pekerja asing syarikat itu di Meru, Klang.

Awal hari ini, Adun Meru, Fakhrulrazi Mokhtar dalam satu hantaran di Facebook merayu dan memohon kerajaan pusat supaya memberhentikan sementara semua operasi kilang Top Glove secepat mungkin.

Ini, katanya, memandangkan kes kluster Jalan Teratai di Meru semakin memburukkan keadaan dan amat membimbangkan semua warga Meru dan pekerja tempatan di kilang itu sendiri.

“Saya selaku wakil rakyat YB Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar - ADN Meru memohon dan merayu supaya pihak kerajaan pusat memberhentikan sementara semua operasi kilang Top Glove secepat mungkin.

“Keselamatan penduduk Meru lebih utama sekarang dari keuntungan kilang Top Glove,” katanya.

Lihat Komen
ADS