Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO Islam M'sia bantah majlis ulama Arab Saudi isytihar Ikhwan Muslimin sesat
Diterbitkan:  Nov 23, 2020 9:52 PM
Dikemaskini: 1:52 PM

Sejumlah NGO Islam di Malaysia hari ini membantah kenyataan Majlis Ulama Kanan Arab Saudi yang mengisytiharkan pertubuhan Ikhwanul Muslimin (IM) sebagai pengganas dan sesat.

Bantahan itu disuarakan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (Accin) dalam sidang media hari ini.

Mereka menyuarakan rasa kesal dengan kenyataan majlis itu, yang merupakan badan agama tertinggi di Arab Saudi dan menyifatkan IM sebagai pertubuhan yang berpegang kepada kedaulatan undang-undang dan prinsip demokrasi.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ACCIN Mohd Jamal Shamsuddin berkata IM merupakan pelopor gerakan kesedaran Islam sejagat sejak zaman penjajahan.

"Saya agak pelik (dengan kenyataan tersebut). Kenyataan itu ditentang oleh pelbagai pihak dan hanya mendapat pujian rejim Zionis," katanya sambil menyifatkan kenyataan itu hanya akan memecah-belahkan umat Islam.

Dia merujuk kenyataan kerajaan Israel, seperti dipetik agensi berita Turki Anadolu, yang mengalu-alukan kenyataan majlis itu dan gembira melihat "pendekatan yang menentang eksploitasi agama untuk bersifat mengapi-apikan".

"Cukuplah perpecahan kepada puak-puak dan penjajah yang hanya melemahkan kita," kata Mohd Jamal.

Untuk rekod, kerajaan Arab Saudi pada Mei lalu juga menyenaraihitamkan IM sebagai pertubuhan pengganas.

Kenyataan Majlis Ulama Kanan Arab Saudi itu yang dikeluarkan pada 10 Nov lalu turut menyifatkan IM sebagai faktor ketidakstabilan di Asia Barat dan memperalatkan agama untuk tujuan mereka.

IM Mesir mengecam tindakan majlis itu dan berkata ia adalah sebuah pertubuhan pembaharuan, bukannya menyokong keganasan.

Kata jurucakapnya Talat Fehmi, IM sendiri sentiasa menjadi mangsa keganasan dan regim diktator.

Dalam pada itu, Naib Presiden Abim Zairudin Hashim (gambar) berkata jika IM adalah sebuah pertubuhan pengganas, pastinya tiada NGO di Malaysia pasti tidak akan menyokongnya.

"Islam itu agama yang indah. Islam itu damai. Sebagai sebuah agama yang damai, sifat muslim itu mesti menyelamatkan orang," kata Zairudin sambil menambah Abim tidak bersetuju dengan pandangan majlis ulama Arab Saudi itu.

Sidang media hari ini merupakan anjuran bersama sekretariat Abim dan Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram).

IM ditubuhkan di Mesir pada 1928 dan merupakan antara gerakan Islam terbesar yang banyak mempengaruhi pertubuhan seumpamanya di dunia, termasuk di Malaysia.

Pada 2013, IM diharamkan di Mesir susulan penyingkiran presidennya Mohamed Morsi, yang juga antara tokoh utama pertubuhan itu.

Lihat Komen
ADS