Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Seorang anggota PGA maut, seorang lagi kritikal'
Diterbitkan:  Nov 24, 2020 11:22 AM
Dikemaskini: 4:33 AM

Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand maut dipercayai ditembak, awal pagi tadi.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut kejadian itu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

“Ya, saya sahkan kejadian (anggota PGA maut ditembak) dan saya sedang dalam perjalanan ke sana (Perlis) untuk meninjau keadaan anggota PGA terlibat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa anggota yang maut itu dikenali sebagai Koperal Baharuddin Ramli manakala seorang lagi rakannya, Koperal Norihan Tari dalam keadaan kritikal.

“Saya telah dimaklumkan bahawa satu kejadian berbalas tembakan antara anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kumpulan penyeludup telah berlaku pada 24 November, jam 3.00 pagi di Tembok Sempadan (TS9), Padang Besar, Perlis.

“Siasatan awal mendapati kejadian ini bermula apabila dua anggota PGA sedang melakukan tugasan risikan di kawasan kejadian telah diserang oleh dua kumpulan, disyaki terdiri daripada warga tempatan dan warga asing yang sedang menjalankan aktiviti jenayah penyeludupan di sempadan.

“Dukacita dimaklumkan salah seorang anggota PGA, Kpl Baharuddin Ramli telah terkorban dalam kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup. Manakala rakan setugas mangsa, Kpl Norihan A/L Tari cedera parah dan kini sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar,” katanya.

Menurut Hamzah, pihak polis telah diarahkan untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh bagi mengenalpasti kumpulan penjenayah yang melakukan serangan tersebut.

“Kerajaan amat memandang serius terhadap kejadian ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama kumpulan penyeludup yang melakukan aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya.

Sementara itu, portal Berita Harian Online yang memetik sumber melaporkan sindiket penyeludupan disyaki dalang serangan ke atas dua anggota PGA itu.

Menurut sumber, tindakan pihak berkuasa Malaysia mengetatkan kawalan sempadan terutama di Perlis dan Kedah, menyebabkan kegiatan penyeludupan sukar dilakukan.

"Kes (tembakan) ini ada kaitan kumpulan penyeludup, ada yang tidak puas hati kita (pasukan keselamatan) ketatkan kawalan dan rondaan di sempadan.

"Dalam kes dua anggota sedang berkawal ketika diserang, ada anggota lain dengar bunyi tembakan," kata sumber berkenaan.

Dai juga memaklumkan bahawa sindiket sama turut dipercayai melepaskan tembakan amaran ke arah anggota PGA yang sedang melakukan rondaan sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah, pada 13 November lalu.

Laporan sebelum ini menyebut, tindakan pihak berkuasa mengetatkan kawalan sempadan Malaysia-Thailand sejak Mac lalu, menyebabkan kegiatan penyeludupan terutama membabitkan sindiket dadah dan ketum lumpuh.

Lihat Komen
ADS