Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAC mahu SPRM siasat pengantara lobi menteri untuk permit pekerja asing
Diterbitkan:  Nov 24, 2020 3:40 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mahu SPRM menyiasat pengantara yang didakwa melobi menteri dalam negeri untuk mendapat kelulusan khas permit pekerja asing.

PAC dalam laporan berkata bahawa digabungkan dengan kelulusan yang dibuat oleh jawatankuasa khas, hampir 512,315 kelulusan khas diberikan sepanjang 2016 hingga 2018.

Ini berbanding dengan 416,510 melalui melalui permohonan biasa.

Laporan tersebut adalah susulan audit pusat untuk tahun 2018, dan tidak menyebut sebarang nama.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi adalah menteri dalam negeri dari 2016 hingga Mei 2018, dan kemudian digantikan oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Menurut keterangan dari Dr Yati Md Lasa, timbalan pengarah audit persekutuan yang ditugaskan ke Kementerian Dalam Negeri, bahawa jawatankuasa kabinet pada tahun 2005 memutuskan bahawa mana-mana majikan yang permit pekerja asingnya ditolak boleh merayu kepada menteri dalam negeri.

Yati berkata, bahawa berdasarkan audit tidak semua permintaan dibuat secara langsung oleh syarikat.

"Ada kalanya syarikat ini menggunakan pengantara yang ini. Ada juga syarikat yang menggunakan pengantara yang kedua untuk memohon (rayuan mereka)," katanya.

Menurutnya, ada di antara surat yang dihantar oleh pengantara meminta kelulusan khas dari menteri tanpa melalui JCS terlebih dahulu.

Menteri kemudian akan menulis catatan, seperti "tolong uruskan" atau "lulus".

[Baca berita penuh]

Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) harus mewujudkan sistem bersepadu dalam pengurusan dan kawalan pengambilan pekerja asing supaya ada kelangsungan data dari satu medan ke medan operasi lain merentasi kementerian dan jabatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen Wong Kah Woh berkata perkara itu adalah antara syor yang dikemukakan kepada kerajaan, selain kedua-dua kementerian tersebut perlu menentukan permohonan bagi kuota pekerja asing dibuat melalui sistem ePPAx dan MyIMMs yang mana keputusan permohonan diberikan dalam tempoh masa tertentu yang munasabah.

“Kelulusan khas hanya harus terpakai dalam kes-kes rayuan bermerit atau projek khas negara sebagaimana yang diputuskan oleh jemaah menteri.

“Secara khususnya KDN tidak boleh mentafsir permohonan yang dihantar kepada MDN (Menteri Dalam Negeri) tanpa melalui sistem sebagai satu rayuan,” katanya dalam kenyataan.

Wong berkata syor berkenaan dibuat selepas PAC membentangkan laporannya berhubung Aktiviti Kawalan Terhadap Pekerja Asing di bawah KDN dan KSM di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, jawatankuasa berkenaan berpendapat tidak seharusnya wujud ‘pengantara’ dalam permohonan kuota pekerja asing kepada Menteri Dalam Negeri, selain mengesyorkan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap peranan ‘pengantara’ terlibat.

Syor lain ialah tiada sebarang pengecualian boleh diberikan untuk pengambilan pekerja asing dalam subsektor beku serta Polis Diraja Malaysia perlu mempercepatkan siasatan terhadap dakwaan kecurian dan penyalahgunaan pengenalan diri (ID) pengguna dalam sistem MyIMMs.

PAC turut mengesyorkan agar Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) terhadap bakal pekerja perlu disegerakan oleh majikan iaitu dalam tempoh 30 hari dari hari ketibaan, dan penguatkuasaan tegas oleh Jabatan Imigresen perlu dikenakan kepada majikan yang gagal mematuhi peraturan itu.

Wong berkata KDN melalui Jabatan Imigresen juga perlu meneruskan Projek Rintis Alternative To Detention Bagi Kanak-kanak Tanpa Penjaga Dan Kanak-kanak Terpisah Dalam Tahanan Imigresen yang telah dirancang dilaksanakan pada April 2020.

Katanya KDN juga harus bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi meneruskan penempatan wanita dan kanak-kanak dari depot ke pusat seliaan Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO).

“KDN harus membuat perundingan semula dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk penyelesaian pendaftaran tahanan berstatus pelarian di depot imigresen di seluruh negara,” katanya.

Selain itu, KDN dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu mewujudkan satu unit khusus bagi memproses sebarang prosedur operasi standard untuk menangani kemasukan dan kebajikan pelarian di negara ini.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS