Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peruntukan: Bagaimana MP tunai kewajipan bawah sistem berat sebelah?

Berbahas di Dewan Rakyat, merasmikan majlis, menjaga kebajikan orang miskin serta membaiki longkang sumbat dan lampu jalan rosak adalah antara jangkaan orang ramai terhadap ahli parlimen (MP) mereka.

Pada pandangan sebahagian rakyat Malaysia, ahli parlimen mereka sepatutnya menjadi "adiwira" yang melakukan semua perkara di atas dan banyak lagi.

Harapan rakyat itu tidak mengejutkan kerana diketahui umum ahli parlimen mendapat gaji tinggi dan juga akses kepada peruntukan kerajaan. Ramai orang percaya bahawa akses ahli parlimen terhadap sejumlah besar wang bermakna mereka dapat menyelesaikan hampir semua perkara dengan mudah.

Tetapi, adakah tanggapan mengenai kewajipan ahli parlimen Malaysia ini benar?

Malaysiakini menemubual beberapa wakil rakyat daripada kedua-dua belah pihak untuk mendapatkan kefahaman yang lebih baik mengenai jangkaan yang diberikan kepada seorang ahli parlimen, kewajipan dan tanggungjawab mereka.

Lebih khusus lagi, bagaimana MP membelanjakan gaji dan peruntukan mereka.

Perbezaan peruntukan

Setiap MP diperuntukkan sejumlah dana untuk digunakan bagi memperbaiki kawasan parlimen yang diwakili mereka.

Walau bagaimanapun, jumlah peruntukan ini berbeza antara ahli parlimen parti pemerintah dan ahli parlimen pembangkang.

Semasa Pakatan Harapan (PH) berkuasa, ahli parlimennya sepatutnya boleh memohon sehingga RM3.5 juta pada tahun 2020, yang dibahagikan kepada RM2 juta untuk tujuan pembangunan manakala RM1.5 juta lagi bagi tujuan sumbangan dan derma.

Pada 2020, ahli parlimen penyokong kerajaan PH dari Malaysia Timur diberi tambahan RM500,000 di samping peruntukan sedia ada berjumlah RM3.5 juta.

Setiap ahli parlimen kerajaan juga menerima peruntukan tambahan RM300,000 setahun, atau RM25,000 sebulan, untuk perbelanjaan pusat perkhidmatan mereka.

Sementara itu, wakil rakyat pembangkang pula hanya dapat memohon dana sehingga RM100,000 setahun untuk kawasan parlimen mereka, dan mereka tidak menerima peruntukan tambahan untuk pusat perkhidmatan mereka.

Ini bermaksud ahli parlimen pembangkang perlu membayar perbelanjaan pusat perkhidmatan mereka dari poket sendiri.

Beberapa MP BN menyuarakan perkara ini ketika pentadbiran PH kerana tidak menyediakan peruntukan dana kepada semua ahli parlimen untuk menjalankan pusat khidmat mereka sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya.

Selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih Putrajaya pada awal 2020, tidak jelas berapa banyak peruntukan yang akan diperoleh seorang MP kerajaan dan MP pembangkang bagi tahun 2021.

Ramai ahli parlimen pembangkang yang bercakap kepada Malaysiakini berkata mereka perlu menghabiskan banyak gaji bulanan mereka untuk menggerakkan pusat perkhidmatan mereka pada tahun-tahun yang akan datang, seperti membayar sewa tempat dan gaji kakitangan mereka.

"Bagi saya, gaji dan elaun sudah cukup, jika itu pendapatan bersih anda.

"Tetapi jika ia termasuk menguruskan pusat khidmat, sudah tentu ia tidak mencukupi. (Gaji seorang MP) tidak boleh termasuk peruntukan untuk menjalankan pusat khidmat, kerana itu adalah perkara yang berbeza.

"Bagi saya, pendapatan saya mencukupi, tetapi kami memerlukan peruntukan untuk pusat perkhidmatan.

"Tanpa peruntukan kerajaan, sangat sukar untuk menjalankan pusat perkhidmatan kami," kata Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang.

Sebilangan besar ahli parlimen pembangkang yang bercakap dengan Malaysiakini berkata perbelanjaan pusat perkhidmatan mereka boleh mencecah sehingga RM15,000 sebulan.

Hanya seorang ahli parlimen pembangkang yang mengatakan perbelanjaan pusat khidmatnya kurang daripada RM10,000 sebulan.

Beberapa ahli parlimen juga berkata mereka akhirnya perlu mengumpulkan dana untuk menguruskan pusat perkhidmatan mereka pada tahun depan.

Belanja seperti MP

Dengan peruntukan RM3.5 juta (MP kerajaan) dan RM100,000 (MP pembangkang), bagaimana cara ahli parlimen menggunakan dana tersebut untuk kawasan yang diwakili mereka?

Untuk rekod, ahli parlimen tidak disalurkan peruntukan secara sekali gus; sebaliknya, mereka perlu mengajukan permohonan kepada kerajaan menyatakan peruntukan itu untuk tujuan tertentu. Kemudian, permohonan MP tersebut akan diperiksa dan diluluskan oleh agensi-agensi yang berkenaan.

Berdasarkan wawancara Malaysiakini, ahli parlimen kerajaan mempunyai lebih banyak peruntukan, berkemampuan memohon projek pembangunan yang lebih besar seperti membina pusat komuniti, gelanggang futsal dan bahkan jalan kecil untuk kawasan luar bandar.

Sebagai contoh, Ahli Parlimen Julau Larry Sng, yang kawasannya berada di luar bandar, berkata peruntukannya ketika dia menjadi MP kerajaan digunakan untuk membina atau memperbaiki jalan serta membantu memperbaiki rumah panjang dan membina jambatan gantung.

Larry Sng

Ahli Parlimen Lumut Hatta Ramli juga berkata dia berhasil meminta peruntukan membangun gelanggang futsal di kawasannya untuk mempromosikan gaya hidup lebih sihat sebelum kerajaan PH jatuh pada Februari tahun ini.

Ahli parlimen dari kedua-dua pihak juga menggunakan peruntukan mereka untuk menghulurkan dana kepada organisasi, persatuan atau sekolah bukan kerajaan, yang kemudian digunakan untuk tujuan kemasyarakatan seperti menganjurkan kejohanan sukan, mengadakan ceramah kesihatan dan sebagainya.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii berkata, dia lebih suka menggunakan peruntukannya dengan keutamaan terhadap kesihatan dan pendidikan di kawasannya seperti mengadakan ceramah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental dan memberi bantuan kepada sekolah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Rengas empat penggal, Nazri Aziz berkata dia biasanya menyerahkan peruntukannya kepada jawatankuasa bertindak bahagian Umno di kawasan itu.

"Saya serahkan kepada jawatankuasa bertindak saya... untuk memutuskan projek-projek yang perlu kami biayai di bahagian saya.

"Mereka tahu bagaimana memperuntukkannya secara berkadar," katanya kepada Malaysiakini.

Gaji bukan hanya untuk diri sendiri

Pada April 2015, gaji bulanan ahli parlimen naik kepada RM16,000 daripada RM6,508.59 sebelum ini selepas pindaan terhadap Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 diluluskan di Dewan Rakyat.

Selain gaji mereka, ahli parlimen juga menikmati elaun dan boleh membuat tuntutan untuk beberapa jenis elaun, termasuk mesyuarat, keraian, bayaran khas, perjalanan bulanan, pemandu dan makan-minum.

Menurut Akta Anggota Parlimen (Imbuhan) 1980, jumlah gaji yang akan diterima oleh ahli parlimen, termasuk elaun, berjumlah RM25,700 sebulan

Ahli parlimen tidak akan dipilih tanpa sokongan parti mereka sejak awal lagi, dan dengan itu, mereka perlu menyumbang sebahagian gaji mereka kepada parti. Ini berbeza di antara parti-parti yang berlainan, tetapi biasanya antara 15 peratus ke 25 peratus daripada gaji bersih para MP.

Sebilangan ahli parlimen pembangkang memberitahu Malaysiakini mereka hanya dapat membuat sejumlah kecil simpanan peribadi setiap bulan selepas membayar sumbangan parti, perbelanjaan pusat khidmat mereka dan komitmen kewangan peribadi serta perbelanjaan hidup harian.

Sebaliknya, Nazri berkata dia menggunakan gaji dan elaunnya untuk membayar kakitangannya atau pengurusan bahagian Umno di Padang Rengas.

"Semua elaun untuk kakitangan, seperti penyelidik atau pemandu saya, saya sama sekali tidak ambil. Ia (gaji dan elaun) dibelanjakan untuk kakitangan.

"Gaji saya (juga) digunakan untuk membayar bil elektrik dan kakitangan Umno.

"Wang itu masuk ke dalam akaun saya, dan kemudian dimasukkan ke akuan kakitangan saya di parlimen dan kakitangan di Padang Rengas," katanya.

Nazri berkata sebelum menceburkan diri ke dunia politik, dia ialah seorang peguam dan ahli perniagaan, jadi dia mempunyai simpanan peribadi yang cukup untuk menampung perbelanjaan bulanannya.

Nazri Abdul Aziz

Semua ahli parlimen yang bercakap kepada Malaysiakini juga berkata mereka perlu menggunakan wang poket sendiri untuk memberikan bantuan tunai langsung kepada rakyat di kawasan mereka.

Kadangkala, ada penduduk yang mengunjungi pusat perkhidmatan MP untuk meminta bantuan dengan pelbagai alasan, seperti perbelanjaan perubatan atau untuk warga emas.

Pada masa lain, mereka menghulurkan sedikit sumbangan ketika menghadiri majlis pengebumian, perkahwinan atau program lain di kawasan masing-masing.

Dalam aplikasi permainan "Belanja Seperti MP", kami meminta pembaca kami memperoleh sebanyak mungkin mata populariti sambil menyelenggara kewangan mereka.

Walaupun ada tanggapan pemberian peruntukan dan bantuan kewangan langsung dapat membantu meraih populariti di kalangan rakyat, para ahli parlimen berkata hal berkenaan tidak semudah itu.

Sng berkata peruntukan dan bantuan kewangan ini telah menjadi sesuatu yang diharapkan oleh rakyat yang diwakili di kawasan parlimen mereka dan seringkali usaha tersebut memberikan kesan yang lebih positif kepada masyarakat.

"Ada dua emosi. Salah satunya adalah jangkaan orang ramai, yang paling rendah. Contohnya, menolong membayar kos perubatan seseorang.

"Ini juga merupakan sebahagian daripada budaya kerana ramai orang tidak kaya. Pakan (kawasan DUN di bawah Julau) adalah daerah termiskin di seluruh Malaysia.

“Mereka mengharapkan ahli parlimen mereka menyelesaikan masalah mereka dan tidak menambah beban mereka. Semua orang mengharapkan sesuatu (dari ahli parlimen) kerana semua ahli parlimen memberikan perkara yang sama.

“Selain itu, ia adalah faktor wow. Melakukan sesuatu di luar jangkaan orang,” jelasnya.

Chang berkata, rakyat juga cukup pintar untuk tidak mendasarkan sokongan mereka semata-mata pada jumlah peruntukan atau bantuan kewangan yang dibelanjakan oleh seorang MP, terutama untuk ahli parlimen pembangkang.

Chang Lih Kang

"Mereka tahu pembangkang tidak mempunyai banyak peruntukan," katanya.

Semua anggota parlimen dari kedua belah pihak juga berkata niat untuk membantu pengundi mereka bukan untuk membeli sokongan mereka tetapi untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh rakyat secara langsung.

Para MP juga berkata apa yang lebih penting lagi, mereka perlu dilihat berada di kawasan parlimen mereka dan untuk berhubung secara lebih peribadi dengan rakyat yang diwakili mereka.

Peranan ahli parlimen

Di Malaysia, ada banyak harapan yang diberikan kepada seorang ahli parlimen untuk bukan sekadar menggubal undang-undang di Dewan Rakyat tetapi juga untuk membantu rakyat yang diwakili mereka secara langsung dengan peruntukan dan gaji mereka.

Tetapi ada yang percaya bahawa ini bukan cara yang sepatutnya.

Bagi kebanyakan MP PH yang bercakap dengan Malaysiakini, mereka percaya peranan ahli parlimen perlu fokus untuk menjadi pembuat undang-undang di parlimen, dan bukannya menguruskan sejumlah besar peruntukan untuk kawasan mereka.

"Saya setuju 100 peratus (bahawa seorang MP harus fokus untuk menjadi penggubal undang-undang).

"Sekiranya kami pembuat undang-undang yang serius, kami perlu mengadakan rundingan dan mesyuarat awam dengan rakyat yang kami wakili.

“Kami harus menyampaikan kepada mereka tentang undang-undang yang telah diluluskan; kami perlu meneliti RUU di parlimen, mengemukakan usul dan mungkin juga rang undang-undang persendirian MP, yang memerlukan banyak kajian.

"Sejumlah besar masa dihabiskan untuk menangani peruntukan yang tidak begitu bermakna," kata Chang.

Yii percaya menguruskan peruntukan untuk pembangunan kawasan pilihan raya mereka tidak boleh menjadi sebahagian daripada tugas seorang MP, tetapi perlu menjadi kewajipan sama ada majlis tempatan, kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan.

"Pada prinsipnya, saya percaya bahawa ahli parlimen hanya perlu diberi wang untuk menguruskan pejabat mereka dan mungkin sejumlah wang kebajikan.

"Tetapi urusan pembangunan infrastruktur dan hal-hal seperti itu, ia harus berada di bawah bidang kuasa yang berlainan," katanya.

Chang juga lebih senang jika semua ahli parlimen tidak mendapat peruntukan supaya mereka dapat menumpukan perhatian terhadap kewajipan mereka sebagai penggubal undang-undang.

Ini juga akan menyelesaikan masalah perbezaan peruntukan antara ahli parlimen kerajaan dan ahli parlimen pembangkang, katanya.

Sebagai gantinya, katanya, dana tersebut perlu disalurkan kepada pihak berkuasa majlis tempatan agar mereka dapat mengatasi masalah-masalah setempat di kawasan-kawasan yang diwakili ahli parlimen itu dengan lebih baik.

"Lebih banyak dana harus disalurkan kepada ahli majlis tempatan yang dipilih kerana selama ini, ahli parlimen perlu menjalankan tugas (menangani masalah tempatan).

"Jika setiap MP tidak memiliki peruntukan, itu akan menyelesaikan masalah (perbezaan dana).

"Sama ada anda memberikan peruntukan yang sama untuk semua ahli parlimen atau tidak ada sama sekali. Saya lebih suka pilihan kedua,” katanya.

Walaupun secara idealnya Hatta juga setuju dengan penyelesaian itu, tetapi katanya dia sedar realitinya berbeza bahawa peranan seorang MP bukan semata-mata menggubal undang-undang.

Dia berharap agar dia terpilih semula berdasarkan prestasinya di Dewan Rakyat, tetapi kata Hatta tahap prestasi khidmat di kawasan parlimennya jauh lebih penting lagi.

"Dalam situasi yang ideal, peranan utama seorang MP adalah sebagai penggubal undang-undang, tetapi di Malaysia, definisinya berbeza.

"Ini terutama berlaku di bawah sistem parlimen Westminster, di mana rakyat di kawasan parlimen memilih kami, jadi anda mewakili kawasan pilihan raya anda.

"Saya masih percaya peranan kami sebagai penggubal undang-undang dan kami perlu pintar dalam berbahas dan merancang undang-undang untuk negara ini," kata Hatta.

Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming dan Sng berbeza dengan rakan mereka dalam hal ini, berkata peruntukan kerajaan kepada MP memang memainkan peranan penting.

“Ada keperluan lain yang perlu dijaga oleh seorang ahli parlimen di kawasannya.

"Peruntukan itu sering menjadi cara untuk memenuhi keperluan pengundi secara lebih langsung tanpa melalui birokrasi yang terlalu banyak," kata Ong.

Ong Kian Ming

Bagi Ong, yang kawasannya memiliki jumlah pengundi terbesar di Malaysia, dia menganggap peruntukannya sebanyak RM100,000 setahun tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat yang diwakilinya.

Sng, yang mewakili kawasan luar bandar di Sarawak, percaya bahawa peruntukan kerajaan mempunyai kesan besar dalam berkhidmat di kawasan pedesaan.

Katanya, ini kerana kawasan luar bandar tidak mempunyai jenis pembangunan yang sudah ada di sebahagian besar wilayah kota dan oleh itu, keperluan seorang MP untuk memberikan peruntukan langsung terhadap pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar jauh lebih besar.

Sementara itu, Nazri percaya bahawa seorang ahli parlimen perlu bekerja untuk rakyat kerana rakyat mengundi mereka bagi menjadi wakil rakyat mereka.

"Sangat penting bagi saya untuk berkhidmat kepada pengundi saya.

"Pada akhirnya, soalannya adalah - apa yang dilakukan ahli parlimen untuk saya? Adakah dia baik kepada saya? '

“Kami mempunyai standard kami sendiri di Malaysia. Jangan berfikir seperti orang Eropah atau Amerika,” katanya.

Di Amerika Syarikat dan beberapa negara demokrasi Eropah, wakil rakyat peringkat persekutuan menumpukan kepada perundangan semata-mata yang memfokuskan tugas mereka di kongres atau parlimen mereka.

Peranan majlis tempatan

Sebilangan ahli parlimen berkata majlis tempatan perlu memiliki peranan yang lebih besar dalam menangani masalah-masalah setempat yang telah menjadi sebahagian kewajipan seorang MP.

Untuk mempermudah hal ini, Hatta berkata pilihan raya majlis tempatan boleh memupuk rasa tanggungjawab yang lebih kuat di kalangan ahli majlis tempatan dalam menangani keperluan kawasan yang mereka wakili.

Hatta Ramli

"Urusan seperti longkang tersumbat dan sebagainya, ia harus dikendalikan oleh ahli majlis tempatan, bukan ahli parlimen.

"Sekiranya pihak berkuasa tempatan sekarang selalu bersedia dan bertindak balas dengan pantas, mereka dapat melakukan ini.

"Sekiranya ada pilihan raya tempatan, rasa tanggungjawab mereka akan lebih kuat," katanya.

Nazri juga mengakui penjawat awam yang dilantik sebagai ahli majlis tempatan akan kurang mempunyai kaitan dengan daerah tempat kawasan parlimen mereka.

Bagaimanapun, dia percaya pilihan raya majlis tempatan akan dipolitikkan.

"Sekiranya ada politik pada peringkat paling bawah, itu akan menjadi terlalu perkauman, terlalu polarisasi, dan akan menelan belanja yang mahal juga," katanya.

Sekiranya sesebuah daerah memiliki majoriti satu kaum, pilihan raya tempatan dapat mengakibatkan semua ahli majlis tempatan terdiri daripada satu kaum sahaja, jelasnya.

Bukan itu saja, tetapi katanya, seorang MP juga mempunyai pengaruh lebih besar daripada ahli majlis tempatan untuk meminta pegawai daerah menangani masalah tempatan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pernah mendesak pilihan raya majlis tempatan semasa berkhidmat bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Zuraida Kamaruddin

Bagaimanapun, Zuraida - yang kini menjalankan tugas kedua sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan di bawah pentadbiran PN - menukar pendiriannya dalam isu tersebut, berkata kerajaan tidak akan mengadakan pilihan raya majlis tempatan

Parti kerajaan PN daripada Umno, PAS dan GPS sebelum ini menyuarakan bantahan terhadap cadangan itu, dan Zuraida kemudian berkata akan menggugurkan idea tersebut jika Putrajaya menolaknya.

Memandangkan para penggubal undang-undang masih belum mencapai kata sepakat dalam masalah ini, nampaknya masih jauh lagi perjalanan untuk Malaysia melihat perubahan dalam kewajipan seorang ahli parlimen.

Lihat Komen
ADS