Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Top Glove bingung kenyataan menteri dakwa asrama pekerjanya teruk
Diterbitkan:  Nov 25, 2020 6:02 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

Pengerusi Eksekutif Top Glove Corporation Bhd, Lim Wee Chai bingung dengan kenyataan Menteri Sumber Manusia M Saravanan yang mendakwa keadaan asrama pekerja yang disediakan syarikat sarung tangan itu sebagai teruk.

Semasa sidang media dalam talian selepas Saravanan bercakap mengenai keadaan yang menyedihkan di asrama pekerja Top Glove, Lim berkata, bahawa menteri itu sendiri pernah mengunjungi tempat penginapan pekerja tetapi tidak menyebut tentang keadaan hidup pekerja.

"Saya rasa dia pernah kunjungi kami dua hingga tiga bulan lalu dan ketika itu, (keadaan) semuanya nampak baik. Kita tidak tahu mengapa dia kata lain (sekarang)," kata Lim pada sidang media dalam talian itu.

Sehubungan itu, Lim berharap menteri berkenaan sedia berkunjung sekali lagi ke asrama pekerja, sambil menambah bahawa syarikat itu akan bekerjasama dengan kementerian untuk mengetahui apa yang perlu dilakukan untuk meningkatkan lagi taraf kehidupan di asrama pekerja.

"Kami alu-alukan dia datang dan kunjung lagi kerana, setelah kunjungan (terakhir) menteri, keadaan (di asrama) terus diperbaiki. Macam mana begitu? Kami belanja banyak wang untuk memperbaiki kemudahan," kata Lim.

Pada awal sidang media, wartawan ditunjukkan kemudahan asas yang telah disediakan untuk para pekerja, termasuk kemudahan sukan, gimnasium, kantin dan kemudahan mengunting rambut.

Menurut Top Glove, syarikat itu telah menghabiskan puluhan juta ringgit untuk mempertingkatkan taraf kehidupan pekerja dan akan terus membelanjakan sejumlah besar untuk berbuat demikian.

Portal The Star hari ini memetik Saravanan sebagai berkata keadaan asrama pekerja yang disediakan syarikat itu adalah teruk dan berikrar untuk mengambil tindakan tegas.

Katanya, dia sudah ke asrama dan mendapati keadaan amat teruk dan sekiranya kerajaan tidak bertindak, kluster Teratai mungkin menjadi tidak terkawal.

Portal tersebut melaporkan bahawa Saravanan turut berkongsi beberapa gambar dan video asrama yang nampak sesak dan tidak bersih.

Dia juga ke kediaman pekerja tersebut beberapa hari lalu bersama pihak Jabatan Tenaga Kerja.

Asrama pekerja dan kilang tersebut di Meru, Selangor merupakan punca kluster Teratai yang pada semalam saja mencatatkan 1,511 kes positif.

Setakat ini, terdapat 4,036 kes positif dalam kluster itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS