Umno PJ Utara tidak restui kedatangan Dr M esok
Umno bahagian Petaling Jaya Utara tidak merestui tindakan pergerakam Pemudanya menjemput bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad datang berucap di majlis 'jasamu dikenang' sebelum mesyuarat perwakilan pergerakan itu esok.
Umno bahagian Petaling Jaya Utara tidak merestui tindakan pergerakam Pemudanya menjemput bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad datang berucap di majlis 'jasamu dikenang' sebelum mesyuarat perwakilan pergerakan itu esok.
Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, Datuk Ikhwan Salim Sujak berkata, pergerakan itu tidak merujuk kepada pihak bahagian terlebih dahulu untuk mendapatkan kebenaran menjemput bekas Presiden Umno itu.
Malah, kata beliau, tindakan pergerakan Pemuda tersebut boleh memecahbelahkan Umno bahagian.
Majlis bersama Dr Mahathir itu akan diadakan di Tropicana Golf & Country Club di Petaling Jaya.
Ikhwan berkata, beliau akan merasmikan mesyuarat Pemuda Bahagian Petaling Jaya Utara jam 9 pagi esok.
Berikutan itu, beliau mempersoalkan tujuan Pemuda Umno Petaling Jaya Utara menjemput kedatangan bekas Presiden Umno itu.
"Tidak ada rasional kita memanggil Tun Dr Mahathir yang sudah tidak mempunyai kuasa pemerintahan. Ia umpama menoleh ke belakang.
'Untungkan pembangkang'
"Apa akan berlaku jika beliau terus mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi? Parti akan berpecah-belah dan yang untung ialah pembangkang.
"Sepatutnya kita memegang mereka yang mempunyai kuasa untuk memberi ceramah bagi mendengar wawasan mereka dan bukannya bekas pemimpin yang sudah tidak berkuasa," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Katanya, beliau sedih dengan keputusan Pemuda bahagian itu dan menyifatkan kedatangan bekas Perdana Menteri tidak memberi apa-apa keuntungan kepada bahagian berkenaan.
"Kita sepatutnya mengundang pemimpin yang sedang berkuasa untuk mendengar sendiri apa gagasan yang diberikan kepada ahli parti," katanya lagi.
Beliau berkata, walaupun Pemuda mempunyai pandangan yang berbeza dengan pendirian Umno bahagian, tetapi ia tidak pernah menjejaskan hubungan antara satu sama lain.
Reaksi Pemuda
Katanya, beliau sentiasa memberi sokongan kepada Ketua Pemuda bahagian Mohd Azli Mohd Saad dengan harapan beliau akan mengambilalih pucuk pimpinan bahagian satu hari kelak.
Bagaimanapun, Mohd Azli ketika dihubungi berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara tersebut kepada pihak bahagian.
Bagaimanapun, katanya, ketika itu belum timbulkan isu yang membabitkan perbalahan pendapat antara Abdullah dengan Dr Mahathir.
"Saya juga mendapat mandat penuh dari pergerakan Pemuda bahagian berhubung undangan kepada Tun Dr Mahathir tersebut," katanya.
Beliau berkata, kedatangan Dr Mahathir esok adalah penting bagi membolehkan generasi muda menimba pengalaman daripada seorang pemimpin besar.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.