Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menuduh dua bekas pemimpin Umno, Tan Sri Abdullah Ahmad dan Datuk Ibrahim Ali sebagai dalang yang mengeruhkan hubungan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau percaya Dr Mahathir ikhlas mengajukan beberapa soalan kepada kerajaan berhubung beberapa projek dan dasar tetapi ada anasir yang mengambil kesempatan untuk mengeruhkan suasana.

Tanpa menyebut nama mereka, beliau berkata anasir berkenaan ialah dua orang yang nama mereka disebut oleh Ketua Penerangan Umno dan Menteri Besar Pahang baru-baru ini.

"Inilah anasir yang disebut Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Mohd Taib dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dalam kenyataan mereka baru-baru ini," kata Khairy semasa berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan Pemuda Umno Bahagian Baling di Baling hari ini.

Dalam satu majlis di Kuantan semalam, Adnan menyebut nama Abdullah (Dollah Kok Lanas) dan Ibrahim (bawah kanan) sebagai 'orang-orang kecewa' yang menyucuk dan mempengaruhi Dr. Mahathir hingga berkrisis dengan Perdana Menteri.

Kata Naib Ketua Pemuda yang juga menantu Perdana Menteri itu, anasir tersebut terlibat dalam penganjuran lawatan Dr Mahathir ke Kelantan baru-baru ini dan membuat kenyataan memburuk-burukkan pemimpin Umno.

Menurut laporan Bernama, Khairy bagaimanapun yakin sokongan terhadap Abdullah tetap utuh kerana dipilih dengan mandat rakyat dan parti.

Lubnan dan Palestin

Sementara dalam sidang medianya selepas majlis tersebut, Khairy berkata, Pemuda Umno mendesak kerajaan menangguhkan rundingan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat kerana negara itu tidak menyokong gencatan senjata dan membawa Israel ke mahkamah keadilan antarabangsa kerana menyerang Lubnan dan Palestin.

Beliau berkata penangguhan itu sebagai tanda sokongan Malaysia terhadap Palestin dan Lubnan yang menjadi mangsa keganasan Israel.

"Selagi tidak ada gencatan senjata yang adil, lebih baik FTA ditunda jika ia memberi kesan kepada mereka (Amerika)," katanya.

Beliau berkata pada lazimnya FTA dengan Amerika lebih menguntungkan Washington kerana negara-negara membangun yang menandatangani perjanjian tersebut dengan kuasa dunia itu banyak bergantung kepada barangan keluarannya.

"Soalnya sekarang kita perlu menghantar satu mesej kepada Amerika... selagi tidak wujud keamanan di Lubnan dan Palestin, kita tidak akan teruskan rundingan FTA," ujar Khairy.

Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada satu mesyuarat khas baru-baru ini yang dipanggil oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku pengerusi, mengutuk serangan Israel terhadap Lubnan dan mahu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengadakan gencatan senjata.

Khairy berkata Pemuda Umno berharap negara membangun lain yang sedang berbincang melaksanakan FTA dengan Amerika turut menangguhkan pelaksanaannya jika ia dapat membantu proses damai Timur Tengah dan tidak merugikan ekonomi mereka.

"Dalam keadaan terkini, Amerika tidak berbuat apa-apa membantu kedua-dua negara itu. Mengapa kita mesti baik dengan mereka?" katanya.

Beliau berkata Pemuda Umno akan menggunakan rangkaian hubungannya yang terjalin dengan China, India, Filipina dan Indonesia supaya mengambil pendirian yang serupa.