Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Serbuan bongkar tempat tinggal kotor, sesak pekerja sarung tangan
Diterbitkan:  Nov 26, 2020 10:33 PM
Dikemaskini: 2:33 PM

Beberapa siri serbuan dilakukan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) hari ini mendapati keadaan tempat tinggal yang kotor dan sesak dihuni pekerja sebuah kilang sarung tangan, menurut laporan media.

Pengarah Standard Perburuhan JTKSM, Mohd Asri Abdul Wahab dilapor berkata pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas 13 buah rumah dua tingkat di Tasek, Ipoh, yang dijadikan asrama oleh syarikat itu.

JTKSM mendapati keadaan itu melanggar Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), yang baru-baru ini diperluas merangkumi semua industri.

“Setiap asrama seharusnya mempunyai 10 hingga 12 pekerja, namun kami mendapati setiap unit masing-masing menampung 15 hingga 20 pekerja.

"Semasa pemeriksaan kami di semua 13 asrama, yang merupakan rumah dua tingkat, kami dapat tilam dan tempat tidur berada di ruang makan dan ruang tamu," katanya dipetik The Star.

Asri menambah, jabatan itu mendapati tong gas dan pakaian "bersepah merata-rata".

The Malay Mail sementara itu, memetik Asri sebagai berkata syarikat itu juga gagal mendapatkan Perakuan Penginapan dari JTKSM.

Nama syarikat itu tidak disebutkan dalam laporan berkenaan.

Namun, The Star menyatakan operasi itu dilakukan "berikutan lonjakan kes Covid-19 yang berkaitan dengan sebuah kilang di Selangor".

Sementara itu, Asri berkata JTKSM melakukan operasi serupa terhadap anak-anak syarikat berkenaan di Negeri Sembilan, Johor, Kelantan dan Kedah.

Serbuan itu dibuat susulan pengumuman Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob semalam bahawa Kementerian Sumber Manusia akan mula menguatkuasakan Akta 446 hari ini.

Langkah itu dibuat berikutan wabak teruk melibatkan asrama pekerja kilang sarung tangan Top Glove di Meru, Klang sehingga tercetusnya kluster Teratai menjadi kluster Covid-19 terbesar pernah direkodkan di negara ini.

Lihat Komen
ADS