mk-logo
Berita
Tak sokong undi belah bahagi belanjawan satu kesilapan - Syed Saddiq
Diterbitkan:  Nov 27, 2020 9:51 AM
Dikemaskini: 9:51 AM

Tindakan ahli parlimen pembangkang yang tidak meneruskan undi belah bahagi pada saat-saat akhir undian Belanjawan 2021 peringkat dasar semalam adalah satu kesilapan, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Muar itu mengatakan bahawa pembangkang telah bersetuju untuk meminta undi belah bahagi dalam beberapa pertemuan dan seharusnya diteruskan.

"Sekiranya keputusan itu diputuskan secara kolektif ... maka teruskanlah, jangan ubah pada saat-saat terakhir dan akhirnya menimbulkan kekeliruan di kalangan pembangkang.

"Tugas kita sebagai pembangkang bukan hanya untuk meraih undi atau tiba-tiba menukar kerajaan.

"Meski mereka yang berada dalam Umno sendiri keberatan untuk tiba-tiba menyokong belanjawan, sudah menjadi tugas kita sebagai pembangkang memastikan kerajaan menggalas tanggungjawab," katanya dalam wawancara dengan BFM pagi ini.

Semalm, Dewan Rakyat meluluskan Belanjawan 2021 bagi peringkat dasar melalui undian suara, selepas cubaan Ahli Parlimen Pokok Sena menggesa undi belah bahagi tidak diluluskan kerana hanya mendapat sokongan13 anggota parlimen, iaitu kurang dua daripada yang diperlukan.

Syed Saddiq antara ahli parlimen yang tidak berdiri untuk menyokong undi belah bahagi itu.

Sebelum undian suara, para pemimpin Umno yang bersekutu dengan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi telah mengirim isyarat bahawa mereka mungkin tidak menyokong belanjawan jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam mengumumkan untuk meluaskan manfaat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Akaun 1, selain insentif baru yang lain - yang diterima baik oleh ahli parlimen Umno yang kemudian memberikan sokongan mereka kepada belanjawan.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim, yang memberikan arahan pada saat-saat akhir untuk tidak meneruskan undi belah bahagi itu sebelum ini menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat kerana tidak ingin dilihat tampil menentang insentif baru yang diumumkan.

Syed Saddiq berulang kali mengatakan arahan saat-saat akhir itu menyebabkan ahli parlimen pembangkan tidak pasti sama ada akan meneruskan undi belah bahagi atau tidak.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad - yang merupakan salah seorang ahli parlimen yang berdiri menyokong undi belah bahagi - mengatakan mereka yang menyokong tidak menyedari arahan untuk duduk.

Syed Saddiq, dalam wawancara itu, meminta maaf atas apa yang berlaku.

"Saya tidak boleh bercakap bagi pihak ahli parlimen lain, tetapi secara peribadi saya percaya bahawa apa yang berlaku adalah salah dan saya meminta maaf (kepada rakyat)," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Muar itu mengatakan dia juga menerima kritikan terhadap pertemuannya baru-baru ini dengan bekas perdana menteri Najib Abdul Razak.

"Saya percaya kritikan itu wajar, terutama bagi mereka yang menganggap pertemuan itu adalah mengenai perkara lain sama ada untuk membentuk kerajaan atau menjatuhkan kerajaan atau sesuatu yang luar biasa," katanya.

Syed Saddiq telah berjumpa dengan Najib untuk melobi sokongan terhadap cukai yang tidak wajar ke atas syarikat yang memperoleh keuntungan luar biasa semasa wabak Covid-19.

Dia mengatakan pertemuan itu bukan sesuatu yang luar biasa, kerana sebelumnya dia bertemu dengan Najib ketika Pakatan Harapan berkuasa untuk mendapatkan sokongan bagi pindaan perlembagaan untuk menurunkan umur minimum pengundi menjadi 18.

Lihat Komen
Paling Popular
Terkini