Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

BUKU | Sim Kwang Yang — dikenali umum dan digelar sebagai “SKY” — adalah seorang tokoh besar: patriot, ahli parlimen dan ahli politik yang berakhlak tinggi. Mendiang SKY mempertahankan Sarawak dan seluruh Malaysia, termasuk tanah adat, dan terutamanya orang asal dan mereka yang dianiayai, dengan penuh berani dan bersemangat. Beliau seorang penulis karya yang bernas, berilmu dan menyengat. SKY juga kawan baik saya.

Kebetulan? Saya rasa tidak! Saya sudah lupa pertemuan pertama kami, berdekad dulu. Kami menjalinkan persahabatan, semakin lama semakin rapat, sehingga kematian SKY tahun 2014. SKY seorang teman yang meriangkan, dan menarik hati saya kerana kami boleh sembang-sembang ringan, di samping juga membincangkan perkara-perkara intelektual dan karya sastera. SKY menggalakkan saya dalam segala usaha, dan selalu menaikkan semangat saya. Ada banyak cerita yang boleh saya kongsikan. Jadi, pembaca yang dihormati, percayalah bahawa ulasan buku karangan SKY saya ini ikhlas, tetapi tidak berkecuali. Di zaman berita palsu, teori konspirasi, dan pembohongan secara terang-terangan, saya mengikut teladan SKY, dengan mengakui daripada permulaan, saya berat sebelah, kerana sayang dan terhutang budi kepada mendiang SKY.

An examined life ialah koleksi 62 karangan SKY yang diterbitkan di Malaysiakini, The Nut Graph, dan Hornbill Unleashed, sebuah blog yang ditubuhkan oleh SKY sendiri. SKY adalah seorang pengarang yang produktif. Orang Sarawak pasti ingat ruangan “Hornbill’s Corner” (ditulis dengan nama pena “Ken Yalang”!) dalam surat khabar lama The Sarawak Tribune. SKY menulis dalam bahasa Cina juga.

Buku An examined life hanya mewakili sebahagian hasil karya SKY, merangkumi sebilangan karangannya yang unggul. Memang bagus kita ada buku dalam bentuk kertas yang menunggu di atas rak buku sehingga sampai ke tangan pembaca yang wajar terpilih. Karya yang muncul di alam maya mungkin akan lenyap, tinggal hanya elektron-elektron primal, dan hilang selama-lamanya.

Koleksi ini mengambil tajuknya daripada ucapan Socrates, dalam Apology yang dirakam Plato, ketika Socrates membela dirinya di mahkamah, dan menghadapi tuduhan kepercayaan tiadanya tuhan atau ateisme.

“Jikalau saya ulangi lagi, wacana saya setiap hari tentang akhlak murni, serta semua perkara yang pernah kamu dengar saya kaji teliti dalam saya sendiri dan orang lain adalah kebaikan tertinggi untuk seseorang insan, dan kehidupan yang tidak dikaji teliti tidak bernilai sama sekali, kemungkinan besar kamu lagi kurang percaya pada saya.”

Sepertimana kita tahu, Socrates didapati bersalah dan dihukum mati.

Orang bijaksana Oracle yang mewakili dewa Apollo di Delphi telah melafazkan bahawa Socrates adalah orang yang paling arif di kalangan orang Yunani. Di pintu masuk kuil Apollo itu terukir catatan: “Kenali diri anda sendiri”. Socrates — sepertimana dinyatakannya dalam ucapan Apology tersebut — hairan mendengar kesimpulan orang bijaksana Oracle, dan demi menghayati seruan Apollo untuk mengenali dirinya, mula menguji dirinya sendiri dan orang lain melalui dialog, untuk menyoal siasat kenyataan Apollo. Ramai warga Athens menyayangi Socrates kerana usahanya, tetapi ramai lagi yang gusar hati.

Seruan tanah air

SKY lulus ijazah falsafah di Kanada dan mampu menjadi seorang pakar akademik, merenungi buku falsafah. Sebaliknya, beliau menyambut seruan tanah air, dan kembali ke Sarawak, untuk berkhidmat kepada rakyat melalui politik, iaitu kehidupan yang paling publik, aktif, dan kasar.

SKY menyertai DAP dan berjaya dalam pertandingan pilihan raya tiga kali berturut-turut, sebagai ahli parlimen Bandar Kuching. Kegiatan politiknya tercatit dalam rekod awam, dan beliau memberi gambaran yang cukup jelas tentang pendirian dan pendapatnya dalam tulisannya di dalam buku ini. Saya bersyukur khasnya kerana salah satu pencapaiannya. SKY mendedahkan percubaan sahabat bekas ketua menteri untuk menjalankan pembalakan di sini, atas Gunung Gading yang indah di Lundu, dan SKY berjaya menyelamatkan gunung tersebut. Namun saya kurang arif dalam hal-hal terperinci politik dan nama pelakon politik utama, dan tidak mampu mengupas hal politik, jadi saya akan menumpukan perhatian kepada peranan SKY sebagai ahli falsafah di parlimen, atau philosopher-MP.

Falsafah bermaksud, dalam bahasa Yunani purba, “mencintai kebijaksanaan”. Di mata orang, falsafah mungkin merupakan “syok sendiri” orang atasan, tetapi sesiapapun yang “lapar dan haus” (bak kata Jesus) mencari kebenaran adalah ahli falsafah. Soalan-soalan falsafah akan menjadi tumpuan setiap insan yang berfikir — tanpa mengira kecerdikannya atau tahap pelajarannya. SKY meringkaskan soalan-soalan tersebut untuk saya, waktu kita sembang dulu:

“Kenapakah kita berada di sini?”

“Bagaimanakah kita harus hidup?”

“Apakah yang kita mampu tahu?”

Dan akhir sekali:

“Apakah yang kita mampu harapkan?”

Orang yang paling rendah diri merenungkan misteri-misteri ini. Sepertimana yang SKY tahu daripada pengalamannya dengan budaya Orang Asal, Orang Asal mengambil berat tentang maksud kehidupan kita, sama seperti orang lain. Ramai yang mencari jawapan dengan cukup tekun. Berfalsafah memang memerlukan keberanian. Kita semua menghendaki kepastian. Namun bila Socrates tiba di penghujung perjalanan falsafah, dan akhir hayatnya, beliau berkata dia tahu hanya yang dia tidak tahu. Kesimpulan ini mungkin mengecewakan, tetapi Socrates tidak pernah berputus asa. Socrates memang seseorang yang gagah berani, dan pernah berjuang dalam perang Athens dengan penceroboh Sparta.

“Keajaiban Yunani” atau kebudayaan gemilang Yunani timbul apabila orang-orang waras sedar bahawa mereka mampu berfikir apa-apapun, tanpa ditimpa petir dari dewa-dewi, dan mati hangus hanya kerana berfikir. Manusia — bangsawan — mampu berfikir apa jua:

“Marilah kita bunuh orang bawahan (tetapi hamba abdi mestilah dikecualikan).”

Kebebasan berfikir

Kebebasan berfikir ini menakjubkan dan cukup merbahaya.

Falsafah menjinakkan minda yang melulu, dan memberikan perikemanusiaan kepada minda kita. Falsafah bertapak di logik, alat minda yang paling berwibawa. Intipati logik adalah undang-undang non-contradiction (pemikiran tidak boleh bercanggahan). “A ialah B” tidak boleh wujud bersama dengan “A bukan B”. Dalil tersebut tidak masuk akal, dan dua kenyataan itu saling eklusif.

Katalah kita berfikir-sesuka-hati-tanpa-logik. Dalam tahun 1968 wartawan Peter Arnett menghantar laporan dari Perang Vietnam, berkenaan dengan Pertempuran Ben Tre, ke surat khabar New York Times. Beliau memetik kenyataan pegawai tentera Amerika:

“Akhirnya, pekan itu perlu dimusnahkan demi untuk menyelamatkannya.”

Percanggahan memang jelas di mata sesiapapun yang mengambil masa setengah minit untuk berfikir.

Saya percaya bahawa SKY merupakan seorang insan yang amat berani dalam peranannya yang aktif bekerja, mahupun peranan intelek. Beliau belajar dari keganasan AS ke atas Vietnam dan menggunakan pengajaran tersebut untuk memerangi penganiayaan Orang Asal di Sarawak. Versi rasmi ialah, setelah diterjemah dari bahasa rasmi, kita mestilah memusnahkan orang Penan, mata pencarian dan budaya mereka, demi “pembangunan”, satu perkataan yang maksudnya masih belum ditakrifkan sehingga sekarang.

Falsafah mengasuh SKY supaya berpenglihatan peka, dan pandai mencari punca-punca masalah, dan menyoal wacana politik Malaysia yang dangkal. Dia berpegang teguh kepada usaha mencari kebenaran, dan menentang kepalsuan dan korupsi sebagai wakil rakyat dan sebagai wartawan. Malangnya SKY semakin uzur bila usianya meningkat. Saya perhatikan bertahun-tahun, keadaan fizikalnya merosot, sehingga angin ahmar menimpanya semasa berusia 60an, dan akibatnya dia tidak berupaya membaca atau menulis. Minda dan emosi tidak terganggu.

An Examined Life terlalu padat dengan bahan, sehingga saya tidak mampu meninjau semuanya dalam ulasan buku ini. Koleksi ini dibahagi empat, dengan tajuk yang cukup jelas: Reformasi politik, reformasi pilihan raya, reformasi sosial, dan kehidupan minda. Saya sendiri tidak membacanya dari depan ke belakang. Saya pindah ke sana sini, sekali-sekala menikmati karangan humanis dalam bahagian terakhir bila letih kerana memberi perhatian penuh kepada perbincangan politik.

Buah fikiran SKY penuh berisi, berkhasiat, dan tidak menyakitkan, walaupun kandungannya kaya. Karangan-karangannya memberi minda kita senaman yang cukup lengkap.

Saya juga memberi penghargaan kerana SKY memberi pengajaran praktik yang sangat penting. Saya lazimnya hanya membaca berita secukupnya demi menjaga keselamatan diri. Tetapi SKY berada di tengah-tengah kemelut politik dan menyaksikan banyak peristiwa, termasuk banyak kejahatan: kacau bilau, manipulasi, penipuan, dan rompakan secara terang-terangan.

Senjata intelek

Penjelasan SKY mengenai kisah sebenar dalam dunia politik dan kerajaan — berlainan betul dengan cerita dongeng yang disebarkan oleh mereka yang berkuasa — memberi kita senjata intelek untuk mempertahankan diri kita.

SKY menulis dalam gaya Bahasa Inggeris yang indah. “Perkataan-perkataan yang sesuai di tempat yang sesuai,” seperti disyorkan oleh Jonathan Swift. Dan, seumpama Swift, tulisan SKY selalunya cukup lucu. Setiap karangan menyeronokkan hati.

Biografi SKY layak ditulis, mungkin dalam bentuk kenangan rakan-rakan, dalam sebuah buku. SKY sekali-sekala bercerita tentang kehidupannya sendiri, dan ada banyak lagi karangan yang tidak muat dalam jilid ini. Kehidupannya amat luar biasa. Sarawak boleh berbangga menjadi tempat lahir SKY, yang berfikir dengan jelas sambil menjalankan kerja dengan aktif. Bacalah tulisannya. Beliau menegakkan maruahnya (walaupun tidak berniat untuk membuat demikian) lebih daripada kemampuan saya untuk menggambarkannya di sini. Kalau saya telah berjaya menunjukkan sedikit sebanyak intipati falsafah politik beliau, dan pendirian politiknya dari falsafah, saya puas hati.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS