Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Noor Hisham jamin vaksin akan dibuktikan selamat, berkesan terlebih dahulu

Sebarang vaksin Covid-19 yang akan digunakan di Malaysia terlebih dahulu perlu diluluskan dan terbukti berkesan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Vaksin kemudian akan diutamakan untuk kumpulan berisiko tinggi dan dipantau untuk sebarang kesan sampingan.

Vaksin itu juga akan dinilai atas kemampuannya untuk menghasilkan imuniti kelompok (herd immunity) terhadap Covid-19.

Jelas Noor Hihsam, Malaysia menyertai perjanjian vaksin sebelum sebarang vaksin diluluskan bagi memastikan negara ini tidak ketinggalan.

"Sebaik sahaja vaksin didaftarkan di Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) AS misalnya, permintaan akan meningkat dan kita mungkin ketinggalan," katanya.

"Apa pun, syarat utama ialah vaksin itu kena berkesan dan selamat dipakai. Itu kena lihat pada pendaftaran oleh FDA da juga di Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Awal hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Putrajaya telah menandatangani perjanjian dengan syarikat farmasi AS, Pfizer untuk mendapatkan 12.8 juta dos vaksin Covid-19.

Noor Hisham memberi jaminan bahawa perjanjian itu ditandatangani susulan "perbincangan terperinci" yang meliputi logistik yang diperlukan untuk membawa vaksin ke dalam negara.

Untuk rekod, vaksin Pfizer perlu disimpan pada suhu -70 darjah Celsius.

“Rundingan itu bukan hanya (tentang) pembelian tetapi juga dari segi pengangkutan, logistik dan penyimpanan.

"Ini termasuk dalam rundingan dengan syarikat itu," katanya.

Noor Hisham bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada Pfizer akan menyediakan ruang penyimpanan sejuk yang diperlukan.

"(Kita) mengadakan perbincangan menyeluruh dari segi penyimpanan di ruang sejuk. Dari pengeluaran hingga penghantaran. Dari pintu ke pintu,” katanya.

Selain Pfizer, Malaysia juga telah menandatangani perjanjian akses Covid-19 dari China, Rusia dan kemudahan akses global vaksin Covid-19 dari Organisasi Kesihatan Dunia (Covax).

Kerajaan memperuntukkan RM3 bilion dalam Belanjawan 2021 untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Lihat Komen
ADS