Malaysiakini
BERITA

K'jaan pusat tak jamin pinjaman negeri untuk projek LRT P Pinang

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Nov 2020, 4:33 pagi

Kerajaan persekutuan tidak akan memberi jaminan kepada permohonan pinjaman RM2.04 bilion oleh kerajaan Pulau Pinang bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT).

Menurut laporan The Edge Markets, kerajaan Perikatan nasional (PN) memutuskan untuk tidak memberikan jaminan kerajaan untuk pinjaman itu, yang bertujuan mendanai projek bernilai RM9.5 bilion itu.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, keputusan itu selaras dengan semakan unjuran hasil dan pendapatan negara pada masa ini.

"Sebarang pinjaman baru dengan jaminan kerajaan perlu diteliti sebaik mungkin kerana ia akan meningkatkan contingent liability kerajaan.

"Peningkatan contingent liability yang tidak dikawal boleh meningkatkan risiko fiskal dan menjejaskan penarafan kredit Malaysia oleh agensi penarafan antarabangsa," katanya.

Justeru, katanya, wajar untuk kerajaan mengehadkan pendedahan jaminan kerajaan berdasarkan keutamaan dan keupayaan bayaran balik hutang.

Zafrul dilaporkan berkata demikian dalam jawapan Parlimen kepada Ahli Parlimen Tanjong Chow Kon Yeow, yang juga ketua menteri Pulau Pinang.

Menurut Zafrul lagi, pinjaman itu akan menambahkan komitmen perbelanjaan mengurus dan pembangunan kerajaan persekutuan.

Katanya, ia selepas mengambil kira projek di luar belanjawan yang turut ditanggung kerajaan seperti MRT1 dan 2, LRT3, Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Zafrul berkata, setakat 30 Sept, jumlah keseluruhan jaminan kerajaan adalah RM289.8 bilion.

Ia bersamaan dengan 20.1 peratus nilai Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK).

Laporan itu turut menyatakan kerajaan Pulau Pinang ingin mewujudkan syarikat tujuan khas (SPV) untuk menerbitkan bon bagi meraih dana untuk projek itu.

Chow dilaporkan berkata tanpa jaminan daripada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri tidak dapat menerbitkan bon yang mencukupi.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.