Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
3-0: Belanjawan Kementerian Luar diluluskan melalui undi suara
Diterbitkan:  Dec 1, 2020 1:33 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

PARLIMEN l Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar melalui undi suara.

Timbalan Speaker, Azalina Othman Said, memutuskan pengundian dijalankan selepas sesi penggulungan oleh Timbalan Menteri Luar, Kamarudin Jaafar.

RUU itu mendapat sokongan majoriti ahli parlimen tanpa melalui proses undian belah bahagi.

Kementerian Luar pada pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu, telah diperuntukkan RM777.9 juta iaitu RM703.1 juta bagi perbelanjaan mengurus dan RM74.78 juta bagi perbelanjaan pembangunan.

Selepas kementerian luar, dua lagi kementerian yang akan menggulung hari ini adalah kementerian perpaduan negara serta kementerian perusahaan, perladangan dan komoditi.

Setakat ini, belanjawan untuk tiga kementerian telah diluluskan - jabatan perdana menteri, kementerian kewangan dan terbaru, kementerian luar.

Sementara itu, Bernama memetik Kamarudin sebagai berkata, Malaysia mempunyai kebebasan dalam memberi pandangan dan ulasan terhadap mana-mana negara lain.

Katanya, Malaysia mempunyai dasar yang bebas tanpa dipengaruhi mana-mana negara kuasa besar dan atas pendirian itu, jika ada tindakan oleh mana-mana negara yang tidak memuaskan, Malaysia terbuka untuk memberikan pandangan.

“Hubungan kita dengan negara Amerika Syarikat adalah hubungan dua hala antara dua negara yang bebas dan merdeka. Amerika Syarikat mempunyai dasar dan tindakannya. Kita mempunyai dasar kita yang bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana negara kuasa besar atau tidak.

“Oleh itu, atas pendirian tersebut kalau ada tindakan oleh mana-mana negara yang kita tidak berpuas hati kita mungkin memberikan pandangan dan ulasan kita,” katanya semasa sesi penggulungan perbahasan.

Terdahulu, Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) ketika membahaskan Belanjawan 2021 Kementerian Luar menegaskan Malaysia mesti mempunyai pendirian yang tegas berhubung isu keselamatan pelbagai hala.

“Suka saya tegaskan supaya pendirian negara kita ini mesti pendirian yang tegas dan kita tidak berganjak dan tidak tunduk kepada gesaan dari negara lain terutama isu yang menyentuh Kashmir, Palestin dan Rohingya,” kata Nik Muhammad Zawawi.

Menyentuh isu Palestin, Kamarudin berkata pendirian Malaysia tidak berubah, sama seperti yang pernah dinyatakan dalam pelbagai forum antarabangsa dan dalam negara sebelum ini.

Sementara itu, mengulas mengenai isu rakyat Malaysia yang didakwa menjadi gelandangan di Singapura, beliau berkata jumlah sebenar mereka yang terlibat adalah sebilangan kecil sahaja dan kementerian bersedia untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

“Kami ada peraturan perjalanan yang bebas kepada mereka. Jika ada masalah boleh rujuk mungkin ada prosedur yang jelas yang tidak diketahui. Kementerian akan bantu mereka,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS