Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adun Bukit Gasing persoal subsidi saringan Covid-19 Perkeso
Diterbitkan:  Dec 1, 2020 9:52 PM
Dikemaskini: 1:52 PM

Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran mempersoalkan kemungkinan terdapat perbezaan dalam pembiayaan Organisasi Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk program saringan bagi pekerja warga asing.

Rajiv yang telah melancarkan program ujian Covid-19 pada kadar yang lebih rendah untuk penduduk Selangor, menyatakan bahawa kerajaan pada mulanya mengumumkan bahawa Perkeso akan memberi subsidi hingga RM60 untuk setiap ujian sementara selebihnya akan ditanggung oleh majikan mereka.

Namun, katanya, Perkeso kemudian memaklumkan bahawa ia hanya akan membekalkan alat ujian sementara majikan harus membayar caj untuk perkhidmatan klinik.

Pemimpin DAP itu berkata dia berjaya memberikan ujian yang sama dengan hanya RM70 yang akan meliputi kos alat ujian RTK-Ag dan caj perkhidmatan klinik.

"Jumlah kit yang saya beli dalam kuantiti yang jauh lebih kecil daripada yang dibeli oleh Sosco, yang bermaksud peralatan ujian mereka juga harganya jauh lebih rendah daripada harga yang saya beli.

"Saya boleh jamin bahawa harga alat ujian itu hanya separuh daripada subsidi yang mereka rencanakan, jika mengambil kira kuantiti alat ujian yang akan mereka beli.

"Ini menimbulkan pertanyaan penting - apakah mereka memberi subsidi lebih rendah dari jumlah yang dijanjikan, atau apakah 'broker' akan buat untung daripada perjanjian ini?" soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Rajiv berkata demikian mengulas program saringan pekerja warga asing di Malaysia yang dilancarkan kerajaan susulan penularan Covid-19 yang melibatkan asrama pekerja.

"Saya menggesa Perkeso untuk tampil dan menjelaskan di mana baki wang itu dan dedahkan mengenai harga ujian RTK-Ag serta berikan peluang kepada semua klinik swasta yang membuat ujian calitan peluang yang sama demi kesejahteraan kita semua,” katanya.

Pengujian fasa pertama pekerja warga asing bermula hari ini di Klang dan Seremban, sementara ujian untuk zon merah lain di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang akan bermula pada 9 Disember.

Ujian untuk pekerja warga asing di daerah lain di Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan akan bermula pada 16 Disember, serentak dengan di Sabah dan Labuan.

Majikan perlu membuat janji temu dengan klinik panel terlebih dahulu agar pekerja mereka menjalani pemeriksaan berdasarkan senarai yang terdapat di laman web Perkeso.

Ujian ini akan menggunakan ujian antigen untuk mengesan kehadiran virus yang menyebabkan Covid-19, yang lebih cepat dan lebih mudah digunakan tetapi kurang sensitif daripada ujian tindak balas berantai polimerase (RT-PCR).

Kit ujian yang dimaksudkan adalah ‘Standard Q Covid-19 Ag’ yang dikeluarkan oleh syarikat Korea Selatan SD Biosensor.

Kementerian Kesihatan telah mulai membeli dan menggunakan alat ujian yang sama sejak April setelah mendapati bahawa ia memiliki kepekaan 84.4 peratus dan tahap spesifik 100 peratus, serta dapat digunakan dengan peralatan asas untuk memberikan hasil dalam tempoh setengah jam.

Pada taklimat pada 21 November, kementerian mengatakan ujian lebih lanjut menunjukkan bahawa kepekaan sebenarnya 90 peratus, yang bermaksud bahawa ujian tersebut dapat mengenal pasti sembilan daripada sepuluh pesakit Covid-19 dengan betul tanpa positif palsu (false positive).

Sebelum ini, Rajiv telah mengumumkan program yang membolehkan semua penduduk Selangor termasuk warga asing membuat janji temu untuk menjalani ujian dengan harga hanya RM70 berbanding harga biasa antara RM150 hingga RM180 setiap ujian.

Program itu dilakukan tanpa subsidi dan mungkin dengan membeli alat uji secara pukal, katanya dalam pengumumannya minggu lalu.

Golongan B40 yang berdaftar di bawah Bantuan Prihatin Nasional yang tinggal di Bukit Gasing layak mendapat kadar subsidi sebanyak RM30 seorang.

Lihat Komen
ADS