Paling Popular
Terkini

Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa dia dinafikan mendapat perbicaraan yang adil dalam kes SRC International melibatkan dana RM42 juta.

Perkara itu dinyatakan dalam Petisyen Rayuan berhubung sabitan bersalah atas satu tuduhan salah guna kuasa, tiga tuduhan pecah amanah (CBT) dan tiga tuduhan pengubahan wang haram.

Pada 28 Julai, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan sabitan bersalah terhadap Najib atas semua tujuh tuduhan tersebut, dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap tertuduh.

Namun, mahkamah yang sama membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan tertuduh di Mahkamah Rayuan.

Peguam Najib dari firma guaman Tetuan Shafee & Co mengemukakan Petisyen Rayuan bertarikh 19 Okt, yang mengandungi 307 alasan.

Menurut salinan Petisyen Rayuan, Najib mendakwa dinafi mendapat perbicaraan yang adil kerana kekhilafan dilakukan Nazlan selaku hakim dan tindakan pihak pendakwaan.

“Secara keseluruhan, perayu (Najib) berhujah bahawa kesalahan oleh hakim Mahkamah Tinggi dan tindakan pihak pendakwaan yang telah menolak hak perayu di bawah Perlembagaan Persekutuan, menyebabkan ketidakadilan serius terhadap perayu ketika dia gagal mendapatkan perbicaraan yang adil dan saksama, ” menurut kertas kausa.

Najib mendakwa Nazlan terkhilaf dalam undang-undang dan fakta, di antaranya menolak pendapat pihak pembelaan bahawa ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB, Low Taek Jhow atau Jho Low telah memperdaya tertuduh berhubung pemindahan berjuta-juta ringgit ke akaun banknya (Najib).

"Yang arif Hakim Mahkamah Tinggi telah melakukan khilaf dan / atau undang-undang ketika menolak pembelaan perayu bahawa Jho Low telah menipu beliau (Najib)," dakwa perayu.

Najib mendakwa Nazlan telah melakukan khilaf dan / atau undang-undang ketika menolak pendapat pembelaan mengenai sumbangan dari keluarga diraja Arab Saudi ke dalam akaun bank perayu.

"Yang arif hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam fakta dan / atau undang-undang ketika menolak pembelaan perayu mengenai sumbangan dari (Raja Arab Saudi) Raja Abdullah," dakwa Najib.

Najib mendakwa halim terkhilaf ketika membuat keputusan bahawa bekas perdana menteri itu tahu mengenai pemindahan dana SRC sebanyak RM42 juta ke akaun (Najib).

Najib mendakwa Nazlan terkhilaf pada fakta dan / atau undang-undang ketika menyimpulkan pendapat pihak pembelaan tersebut secara tidak tepat, dan tidak memberikan gambaran menyeluruh mengenai pendirian dan pertikaian oleh pihak pembelaan.

Najib juga mendakwa bahawa pertukaran hakim yang mengadili kes SRC secara tiba-tiba, daripada Mohd Sofian Abdul Razak kepada Nazlan pada tahun 2018, dilakukan tanpa sebab munasabah.

"Dalam petisyen ini, perayu mencabar perubahan hakim secara tiba-tiba kerana tidak ada unsur itikad baik dan antara lain, ia memberikan gambaran tentang campur tangan pihak atasan badan kehakiman,”kata Najib.

Pada 27 Julai 2018, dilaporkan bahawa Nazlan ditugaskan mengadili kes SRC daripada Mohd Sofian.

Ketika dihubungi hari ini, peguam bela Najib, Harvinderjit Singh mengesahkan Petisyen Rayuan berkenaan mempunyai sejumlah 307 alasan serta tarikh dokumen pada 19 Okt.

Pada 1 Okt lalu, Pendaftar Mahkamah Rayuan menetapkan 12 hari bermula 15 Feb untuk mendengar rayuan Najib bagi membatalkan sabitan bersalah dalam kes SRC yang membawa hukuman penjara dan denda.

Lihat Komen
ADS