Nallakaruppan dan 2,000 penyokong sertai PKR

   

Datuk KS Nallakaruppan akan menyertai Parti Keadilan Rakyat ( PKR) bersama 2,000 penyokong kaum India Ahad ini.

Mereka akan menyerahkan borang keahlian kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya merangkap Presiden parti itu, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Ahad ini saya bersama kira-kira 2,000 penyokong kaum India akan menyertai PKR. Satu acara besar-besaran akan diadakan di hotel Istana bersama Anwar," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

"Kebanyakan penyokong dari kaum India ini adalah dari golongan professional, peguam, doktor, jurutera dan akauntan. Mereka semua ingin menyertai PKR sejak lama dulu tetapi hanya mahu melakukannya sekarang bersama-sama saya," tambahnya.

Bekas pemimpin MIC itu berkata, mereka semua percaya PKR adalah sebuah parti pelbagai kaum sebenar yang boleh mewakili kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

Nama Nallakaruppan menjadi sebutan ramai pada tahun 1998 apabila dikatakan menjadi "rakan bermain tenis" Anwar ketika krisis antara bekas Timbalan Perdana Menteri itu dengan Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir Mohamad sedang memuncak.

Beliau kemudian ditahan atas tuduhan memiliki peluru pistol tanpa permit dan menghadapi hukuman mati jika sabit kesalahan.

Nalakaruppan dihadapkan ke mahkamah tetapi dikenakan hukuman penjara. Setelah menjalani hukuman selama setahun beliau dibebaskan.

Beliau bersama keluarga kemudiannya meninggalkan negara ini dan menetap di India, kemudian ke Amerika Syarikat dan akhir sekali ke Australia. Pada tahun 2003 beliau kembali ke tanah air.

Mengulas lebih lanjut alasan beliau menyertai PKR, Nallakaruppan berkata kerana mahu menolong "kawannya", Anwar kembali ke arena politik dan untuk menolong orang miskin terutamanya kaum India.

"Pilihanraya umum semakin hampir dan PKR perlukan pertolongan dari semua pihak. Saya tidak masuk PKR kerana mahu menjadi pemimpin atau kuasa.

Saya menyertai parti ini kerana ahli-ahlinya dan mahu membantu rakyat Malaysia yang miskin," jelas beliau. Berita asal

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In